Taraf saranan Bank Islam diturunkan kepada ‘pegang’, TP kekal pada RM2.35 – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taraf saranan Bank Islam diturunkan kepada ‘pegang’, TP kekal pada RM2.35 – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah menurunkan taraf Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM2.35, berdasarkan 0.73 kali nisbah harga pasaran kepada nilai buku FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan BIMB bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) menurun 2% tahun ke tahun disebabkan nisbah Jaws negatif (disebabkan perbelanjaan operasi lebih tinggi), berserta peruntukan kerugian pembiayaan yang lebih besar.

 

Menurut HLIB, pertumbuhan pembiayaan BIMB hilang daya tarikan.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata margin pembiayaan bersih dan nisbah pembiayaan terjejas kasar telah bertambah baik secara berurutan.

 

“Secara keseluruhan, keputusan adalah dalam jangkaan, dan oleh yang demikian, unjuran FY23-25 kami adalah utuh.

 

“Bagaimanapun, kami semakin kurang yakin terhadap BIMB, memandangkan profil ganjaran risikonya kini lebih seimbang, berikutan pemulihan harga saham baru-baru ini.

 

“Pada pendapat kami, penilaian semula akan menjadi sukar, memandangkan kekurangan pemangkin positif baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 3QFY23, keuntungan bersih BIMB menyusut 2% kepada RM140.54 juta berbanding RM142.86 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatan bank tersebut dalam tempoh berkenaan meningkat 22% kepada RM1.14 bilion berbanding RM933.18 juta tahun lepas.

 

Ia turut mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 12.59 sen sesaham berjumlah RM285.39 juta.

 

Setakat pukul 9:32 pagi ini, saham BIMB telah naik 3 sen atau 1.3% kepada RM2.27 dengan permodalan pasaran bernilai RM5.1 bilion.  - DagangNews.com