Tanpa Ramsay Sime Darby, IHH masih ada peluang untuk terus berkembang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanpa Ramsay Sime Darby, IHH masih ada peluang untuk terus berkembang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Sept - IHH Healtchcare Bhd. mempunyai lebih banyak peluang untuk berkembang meskipun rundingan dengan Sime Darby Bhd. bagi cadangan pengambilalihan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd. (RSD) menemui kegagalan.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Tay Wee Kuang berkata, kumpulan perubatan itu kekal meneroka potensi pertumbuhan terutama pelupusan pegangan dalam International Medical University (IMU) yang diumumkan pada suku kedua lalu, dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2023 sekali gus berupaya meningkatkan modal sehingga RM1.35 bilion kepada IHH.

 

Malah, katanya, tanpa RSD, IHH masih boleh meningkatkan kapasiti katil dengan pengambilalihan Hospital Ortopedia di Adana, Turkiye dan pembukaan pembukaan tingkat baharu di Hospital Fortis,
Mulund di India.

 

"Kami berpendapat pengambilalihan secara bolt-on dan rancangan pengembangan organik melalui pembukaan sayap hospital baharu untuk meningkatkan kapasiti katil boleh menyumbang hasil yang lebih baik berbanding pemerolehan yang lebih besar atau projek lapangan hijau yang masing-masing akan mempunyai kos integrasi lebih tinggi dan tempoh menjana keuntungan yang panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, IHH dan Sime Darby dalam makluman di Bursa Malaysia secara berasingan memberitahu perbincangan mengenai pengambilalihan 100% kepentingan dalam RSD telah selesai dan tidak menghasilkan perjanjian yang mengikat.

 


Baca : Rundingan bagi cadangan pengambilalihan Ramsay Sime Darby tamat tanpa perjanjian

 

Pada Mac 2022, IHH mengumumkan penyerahan cadangan indikatif yang tidak mengikat untuk pengambilalihan 100% kepentingan dalam RSD  daripada Sime Darby dan Ramsay pada harga RM5.67 bilion.

 

Wee Kuang berpendapat, IHH sedang berhemat dalam penggunaan modalnya, terutamanya memandangkan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat yang mungkin menjadikan pertambahan pendapatan daripada pemerolehan kurang menarik.

 

"Harga tawaran awal IHH sebanyak RM5.67 bilion dari segi nilai perusahaan (PE) mewakili PE/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 25 kali berdasarkan kepada EBITDA RSD sebanyak RM226 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, yang mana 80% lebih premium berbanding penilaian semasa 14 kali EV/EBITDA," katanya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, portfolio RSD yang terdiri daripada tujuh hospital (empat di Malaysia, tiga di Indonesia) akan menambah lebih daripada 1,500 katil kepada IHH bagi kiraan katil sebanyak 11,418 setakat akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) merentasi operasinya seperti Malaysia, Singapura, India, Turki dan Eropah serta membolehkannya memasuki pasaran baharu di Indonesia. 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap IHH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.07 sesaham. 

 

"Ini berikutan langkah kumpulan yang terus mengambil pendekatan berhemat dari segi peruntukan modal walaupun ia terus meneroka peluang pertumbuhan," jelasnya.

 

Setakat 11.10 pagi, harga sahamnya menokok 5 sen atau 0.81% kepada RM6.22 dengan 877,900 saham diniagakan. - DagangNews.com