Tanah runtuh: Resorts World Genting nasihat pengunjung guna Lebuhraya Karak melalui Genting Sempah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanah runtuh: Resorts World Genting nasihat pengunjung guna Lebuhraya Karak melalui Genting Sempah

Gambar NSTP

KUALA LUMPUR 16 Dis - Resorts World Genting menasihatkan pengunjung yang pergi dan balik dari resort itu supaya menggunakan Lebuhraya Karak melalui laluan Genting Sempah susulan insiden tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

 

Resort World Genting dalam satu kenyataan menerusi laman webnya berkata, kedua-dua belah laluan masuk ke Resorts World Genting telah ditutup oleh pihak polis susulan kejadian berkenaan.

 

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.

 

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di tapak perkhemahan berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

 

Terdahulu, tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah meragut nyawa 13 mangsa setakat ini.

 

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu sidang media di Hospital Selayang. 

 

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar). - DagangNews.com