KUALA LUMPUR 29 Mei - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Jun 2023.
PNB dalam kenyataan hari ini berkata, beliau adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd, Icon Offshore Bhd dan Bumi Armada Bhd, selain merupakan bekas pengarah Maxis Bhd serta Khazanah Nasional Bhd.
Katanya, Raja Arshad adalah bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.
"Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Bhd, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.
"Beliau dilantik sebagai pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan Ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC," katanya.
PNB berkata, beliau telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti Malaysia semasa ia mula-mula ditubuhkan.
Katanya, beliau juga pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
"Raja Arshad terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan. Beliau mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan DayaDiri.
"Selain itu, beliau juga merupakan Canselor Universiti Selangor," katanya.
Menurutnya, Raja Arshad ialah Felo Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), selain merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya sebagai presiden.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan Raja Arshad ke Lembaga Pengarah PNB, membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.
"Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com








