KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan berkuat kuasa 1 September 2024.
Dalam kenyataannya, KWSP berkata, Mohd Zuki, 62, akan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sebagai Pengerusi KWSP pada 1 Mei 2020.
“Lembaga Pengarah KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Badri atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan besar beliau.
“Pada masa yang sama, Lembaga Pengarah ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan hala tuju strategik beliau akan terus memacu KWSP kepada tahap yang lebih tinggi,” katanya hari ini.
Jawatan Pengerusi KWSP juga pernah diisi dalam kalangan bekas Ketua Setiausaha Negara antaranya Tan Sri Abdul Halim Ali dan Tan Sri Samsudin Osman.
Mohd Zuki mula memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura. - DagangNews.com








