Tan Sri Idris Jusoh lepaskan jawatan Pengerusi Felda lebih awal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Sri Idris Jusoh lepaskan jawatan Pengerusi Felda lebih awal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Tan Sri Idris Jusoh melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun 2023 lebih awal dari tempoh sepatutnya pada Mei tahun depan.

 

Idris yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau telah menerima keputusan dari Pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut.

 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerajaan melantik pengganti yang lebih bersesuaian.

 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjawat jawatan ini di bawah kepimpinan beliau.

 

"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga peneroka, petugas di Felda dan semua yang telah memberi kerjasama semasa saya berkhidmat di Felda.

 

"Saya doakan semoga Felda akan sentiasa terus berjaya di dalam keberkatan," katanya.

 

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi tersebut pada 1 Mei 2020 menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

 

Beliau juga disambung kontrak selama dua tahun berkuat kuasa Mei 2022 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - DagangNews.com