KUALA LUMPUR 9 Mei - Taliworks Corp. Bhd. mampu mengukuhkan kedudukannya dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) setelah melengkapkan engambilalihan 4 projek solar bernilai RM144 juta pada April lalu.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, pendapatan hijau baharu yang berulang daripada penyertaannya dalam segmen solar akan meningkatkan lagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan.
Ini membolehkannya menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 antara 6.2 hingga 6.5%.
"Penyertaan kumpulan dalam tenaga solar kekal berdaya maju kerana kebolehskalaan hasil disokong kos yang jauh lebih rendah untuk panel solar baharu berbanding 7 tahun lalu, kos belanjawan juga rendah dan pengoptimuman output yang lebih hampir kepada ketersediaan tahunan (DAA) yang diisytiharkan sebanyak 19MW berbanding kira-kira 70% kadar pengeluaran ketika ini.
"Berdasarkan anggaran kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 7%, kami mencapai anggaran nilai agregat DCF sebanyak RM189 juta bagi baki lagi 13 tahun Perjanjian Pembelian Tenaga Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA)," katanya.
Kesemua 4 projek solar itu mempunyai kapasiti gabungan janakuasa tenaga berjumlah 19MW, yang terletak di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengambilalihan tersebut dibiayai sebahagian besarnya menerusi dana tunai dalaman (setakat akhir Disember 2021 dan pelaburan sebanyak RM457 juta).
Setiap projek berkenaan, mempunyai baki 13 tahun lagi bagi keseluruhan perjanjian REPPA selama 21 tahun.
Rakan niaga itu ialah Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), menjadi 2 penyingkir tunggal perjanjian pembelian tenaga (PPA).
Mengenai prospek kontrak, Sharizan berkata, tender air dijangka meningkatkan momentum kumpulan pada bulan-bulan akan datang, yang akan menyaksikan lebih banyak aliran kerja setelah Taliworks memperoleh kontrak berjumlah RM896 juta menerusi skim bekalan air Sungai Rasau pada Disember 2021.
"Bagaimanapun, kami memahami baki tender bagi pakej 1 projek Sungai Rasau hanya akan dimuktamadkan pada suku kedua 2022.
"Kontrak ini akan diumumkan pada pertengahan 2022, kerana ia merupakan projek penting bagi kerajaan negeri Selangor. Taliworks pula merupakan antara 4 calon yang disenaraipendek untuk merebut tender ini," jelasnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Taliworks dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.15 daripada RM1.06 sebelum ini.
Setakat 12.07 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 1.59% kepada 93 sen dengan 290,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








