KUALA LUMPUR 30 Mac - Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) menyumbang sebanyak RM40,000 daripada zakat wakalah syarikat kepada 150 keluarga miskin di 10 kawasan di Kelantan bagi membantu mereka membuat persediaan menjalani ibadah puasa.
Sumbangan tersebut merangkumi barang keperluan asas bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang.
Program tersebut merupakan kerjasama Takaful IKHLAS dan Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan bagi melaksanakan penyerahan bantuan Ramadan kepada asnaf terpilih di negeri tersebut, baru-baru ini.
Penyerahan replika cek sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Rudy Rodzila berkata, syarikat sentiasa prihatin dan empati pada golongan yang kurang berkemampuan.
"Kami berharap semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga yang terlibat dan menerbitkan senyuman di wajah mereka. Dalam usaha membantu para asnaf membuat persediaan menjalani ibadah puasa, Takaful IKHLAS menyediakan barang keperluan berbeza bagi setiap jajahan.

"Pembelian barangan dibuat selepas penyelarasan daripada pihak Puspanita Kelantan agar barang yang dibeli bukan barangan yang sama atas arahan pegawai tadbir daerah. Ini bagi memastikan barang yang dibeli menepati keperluan penerima dan sesuai dengan mereka sekali gus sebagai langkah mengelakkan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti di bawah IKHLAS Barakah House iaitu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan serta aktiviti-aktiviti penglibatan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan alam sekitar. - DagangNews.com








