BARU-BARU ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menekankan mengenai sikap hipokrasi dalam menangani krisis di Gaza oleh negara-negara yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.
Beliau berkongsi pandangan itu dalam wawancara eksklusif dengan kumpulan media utama Jepun, The Nikkei.
“Saya muak dengan hipokrasi ini. Ini bukan politik. Ini (merupakan) isu kemanusiaan. Saya boleh katakan bahawa hipokrasi sedemikian (berlaku) di banyak negara yang kononnya mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.
Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyebut nama negara-negara tersebut namun salah sebuah negara yang menjadi kritikan beliau adalah Taiwan yang menonjolkan dirinya sebagai simbol demokrasi di Asia.
Taiwan misalnya teguh berdiri bersama-sama Israel sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada 7 Oktober.
Pemerintah Taiwan dengan pantas menyokong propaganda Israel selepas tercetusnya konflik dan mengutuk Operasi Banjir Al-Aqsa sebagai serangan pengganas.
Pada 8 Oktober, Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berkata, bagi pihak rakyat dan kerajaan Taiwan, beliau menyatakan ucapan takziah kepada rakyat Israel. Taiwan merupakan negara demokrasi menentang sebarang bentuk ancaman pengganas.
Naib Presiden Taiwan yang juga Pengerusi Parti Progresif Demokratik (DPP), Lai Ching-te juga berkata, Taiwan bersama-sama masyarakat antarabangsa mengutuk ancaman pengganas dan serangan terhadap orang awam.
Selain itu, wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Israel, Lee Ya-ping menderma sejumlah AS$70,000 kepada anggota tentera regim Yahudi dan keluarga mereka melalui NGO Israel yang dikenali sebagai Pitchon-Lev.
Lee Ya-ping juga menyatakan kebanggaannya bahawa Taiwan merupakan kumpulan pertama yang memberi bantuan dan sumbangan kepada Israel.
Namun begitu, Taiwan yang mendabik dada sebagai pejuang hak asasi manusia tidak langsung mempedulikan, malah menutup matanya terhadap serangan dan bencana kemanusiaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) melakukan serangan sewenang-wenangnya terhadap orang awam dan menghalang bekalan bantuan kepada penduduk di Gaza, selain melakukan pembunuhan beramai-ramai apabila menyerang hospital-hospital.
Pelik sekali, pemerintah Taiwan berdiam diri terhadap jenayah perang tersebut dan tidak mengutuk Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa seperti Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) secara terbuka.
Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Krisis di Gaza bukan politik. Ini isu kemanusiaan. Apabila Israel menghadapi serangan, Taiwan segera menyatakan ucapan takziah dan memberi bantuan kepada Israel. Pada masa yang sama, Taiwan berpaling daripada penderitaan rakyat Gaza.
Jika Taiwan benar-benar mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia, sudah tiba masanya bagi negara itu bersuara menyokong perjuangan rakyat Palestin dan meminta Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.- DagangNews.com