TA Securities tamatkan liputan terhadap Tiong Nam ekoran kurang pemangkin penarafan semula saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities tamatkan liputan terhadap Tiong Nam ekoran kurang pemangkin penarafan semula saham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - TA Securities menamatkan liputan terhadap Tiong Nam Logistics Holdings Bhd memandangkan kumpulan itu kekurangan pemangkin penarafan semula saham.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘jual’ dan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 70 sen sesaham berbanding 76 sen sebelumnya.

 

Pengurangan TP berkenaan adalah susulan penurunan unjuran pendapatan penyedia perkhidmatan logistik itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 2.7% hingga 46.7% kepada RM5.2 juta, RM37 juta dan RM68.7 juta.

 

Penyelarasan unjuran firma itu mengambil kira perbelanjaan kewangan dan kos kakitangan yang lebih tinggi.

 

Tidak termasuk keuntungan nilai saksama sebanyak RM12 juta, keuntungan pelupusan sebanyak RM1.2 juta dan item luar biasa lain, TA Securities berkata kerugian teras kumpulan itu pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM13 juta berbanding unjuran keuntungan FY24 firma itu sebanyak RM9.8 juta.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan bersih Tiong Nam merosot kepada RM1.2 juta bagi 2QFY23 kesan peningkatan kos kewangan

 

 

“Pendapatan tersebut meleset disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan (perbelanjaan upah dan faedah) pada segmen logistik dan pergudangan (L&W),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas tentang prospek, TA Securities berkata syarikat itu telah memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan pada Ogos untuk gudang meganya di Senai untuk memulakan operasi.

 

“Oleh itu, kita boleh menjangkakan pendapatan sewa meningkat dari suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) dan seterusnya.

 

“Namun begitu, pendapatan daripada gudang Senai akan menjadi sewa semata-mata kerana kumpulan itu tidak terlibat dalam operasi logistik untuk pelanggannya,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, prospek operasi dijangka kekal mencabar akibat peningkatan kos gaji dan isu kekurangan pekerja yang berlarutan.

 

Selain itu, katanya, bekalan ruang pergudangan dijangka melebihi permintaan, memberikan tekanan pada logistik dan margin pergudangan pada masa hadapan.  - DagangNews.com