TA Securities naikkan unjuran pendapatan Westports bagi FY23-25 sebanyak 4.7% sehingga 6.7%, tingkat taraf saranan kepada ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities naikkan unjuran pendapatan Westports bagi FY23-25 sebanyak 4.7% sehingga 6.7%, tingkat taraf saranan kepada ‘beli’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - TA Securities meningkatkan unjuran pendapatan Westports Holdings Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2024 (FY23-25) sebanyak 4.7% sehingga 6.7% selepas menyemak semula andaian pertumbuhan pemprosesan kepada 3%,4% dan 2% daripada -1%, 6% dan 2%.

 

Berikutan semakan dalam pendapatan dan dividen, firma penyelidikan itu menaikkan penilaian Westports kepada RM4 sesaham (daripada RM3.85 sebelumnya) dan naik taraf saham itu kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ selepas pembetulan harga baru-baru ini.

 

TA Securities membuat pelarasan tersebut susulan keputusan separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) yang diumumkan kumpulan itu semalam, di mana keuntungan terasnya sebanyak RM377.6 juta adalah dalam jangkaan tahun penuh firma pada 55% dan 53% daripada anggaran konsensus.

 

 

BACA: Untung bersih Westports meningkat kepada RM194.76 juta pada 2QFY23

 

 

Berikutan taklimat keputusan, firma itu berkata pengurusan Westports telah mencatat peningkatan jumlah pemprosesan kontena pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2Q23), didorong oleh perdagangan tempatan dan pelaburan langsung asing (FDI) yang kompetitif serta penempatan semula kontena kosong.

 

“Ambil perhatian bahawa Westports telah menyaksikan peningkatan dalam kontena kosong kepada 29% daripada jumlah unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2Q23 (berbanding 26.5% pada 2Q22), di samping peningkatan ketara dalam jumlah perdagangan Intra-Asia.

 

“Ini menunjukkan bahawa kontena kosong berkemungkinan besar berpindah ke China untuk menampung pertumbuhan eksportnya pada 2H23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut TA Securities, pengurusan Westports mengulangi bahawa konsesi Westports 2.0 akan ditandatangani pada 2H23 tanpa berkongsi banyak butiran seperti perubahan dalam tarif dan tempoh konsesi, dan struktur modal ekuiti hutang yang optimum untuk Westports 2.0.

 

Selain itu, pengurusan menjangkakan jumlah kontenanya akan berkembang pada kadar satu digit rendah untuk 2023.

 

“Kami berpendapat bahawa ini boleh dicapai sekarang kerana Rizab Persekutuan percaya Amerika syarikat akan mengelakkan kemelesetan pada tahun 2023, bersama-sama dengan jangkaan terbaharu IMF bahawa pertumbuhan global pada 3% tahun ini dan seterusnya,” jelasnya.

 

Pada waktu penulisan, saham Westports menokok 3 sen atau 0.9% kepada RM3.52 dengan permodalan pasarannya bernilai RM12 bilion. - DagangNews.com