Syarikat EPCC solar, TNB antara penerima manfaat aktiviti eksport RE - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Syarikat EPCC solar, TNB antara penerima manfaat aktiviti eksport RE - Maybank IB

Syarikat besar dalam industri tenaga seperti TNB dan YTL Power juga menerima manfaat daripada eksport RE. Gambar hiasan Sonneveld Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - Syarikat-syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar tempatan seperti Solarvest, Cypark Resources dan Sunview Group akan mendapat manfaat daripada aktiviti eksport tenaga boleh baharu (RE) yang dipermudahkan lagi dengan penubuhan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).


 
Turut disenaraikan Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota penyelidikannya hari ini ialah Pekat Group Berhad dan Samaiden.

 

Menurut Maybank IB, syarikat besar dalam industri tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan YTL Power juga boleh menerima manfaat daripada eksport RE melalui jualan RE dan caj wheeling.

 

"Secara keseluruhannya, kami kekal 'Positif' pada sektor RE yang mana penambahan buku pesanan EPCC akan berlaku daripada Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) 800 megawatt (MW) dan 2 gigawatt (GW) projek Solar Berskala Besar 5 (LSS5)," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ENEGEM jadi platform urusan perdagangan tenaga rentas sempadan - Petra

 

solar
Maybank IB menyenaraikan Solarvest sebagai pilihan utama dengan saranan 'Beli'.

 

Tambah Maybank IB, penubuhan ENEGEM merupakan perkembangan positif buat industri RE dengan pilihan utama ialah Solarvest, saranan Beli pada harga sasaran RM1.76 sesaham..

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, eksport RE bukan sahaja memacu pertumbuhan industri RE Malaysia tetapi pada masa sama berpotensi menjadi sumber hasil baharu.

 

Katanya, industri RE Malaysia pada masa ini hanya bergantung kepada skim LSS dan CGPP domestik.

 

"Singapura telah mengumumkan sasaran import sehingga 4 gigawatt (GW) import elektrik rendah karbon merangkumi 30% bekalan elektrik Singapura menjelang 2035.

 

"Pada masa ini, Plentong-Woodlands Interconnector sedia ada boleh memudahkan aliran elektrik dwi-arah, melibatkan 1 GW antara Malaysia dan Singapura," jelasnya. - DagangNews.com