Swift Haulage lancar hab rangkaian sejuk terbesar di Kota Kinabalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Swift Haulage lancar hab rangkaian sejuk terbesar di Kota Kinabalu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Swift Haulage Bhd menerusi syarikat bersekutunya, Hypercold Logistics Sdn Bhd melancarkan hab rangkaian sejuk terbesar di Kota Kinabalu untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan liputan yang lebih luas di Sabah.

 

Penyedia perkhidmatan pengangkutan dan logistik itu berkata, hab itu yang terletak secara strategik di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, akan memberi perkhidmatan kepada Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Labuan, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau, dan Kudat.

 

"Apabila pembesaran itu siap sepenuhnya pada November 2023, hab itu akan mempunyai kapasiti 6,389 palet, menjadikannya yang terbesar di Sabah," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Swift berkata, pengembangan kapasiti juga akan disokong kumpulan trak kawalan suhu yang akan dilengkapi sepenuhnya dengan GPS dan pengesanan suhu yang mampu menyediakan perkhidmatan rentas sempadan.

 

"Hypercold Logistics telah diperbadankan pada 2006 dan terlibat dalam penyediaan logistik berkaitan rantaian sejuk, penyimpanan gudang dan pengangkutan barang. Ia mempunyai 2,889 palet kemudahan bilik sejuk," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui berkata, pihaknya teruja dengan potensi Sabah untuk menjadi pilihan utama sebagai hab pusat bagi logistik rangkaian sejuk di wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

 

"Lokasi strategik Sabah dengan ketara memudahkan aliran barangan dan perkhidmatan yang lancar dalam wilayah BIMP-EAGA, memberikan kami kelebihan unik dalam menawarkan rumusan logistik yang cekap dan kos efektif," katanya. - DagangNews.com