PELABUHAN KLANG 20 Feb - Swift Haulage Berhad melancarkan gudang dan pejabat pengangkutan mesra alam di Pelabuhan Barat, menandakan gudang kelapan syarikat itu.
Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu dan pengangkutan Malaysia itu turut memeterai perjanjian perkhidmatan logistik bersepadu dengan Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan pergudangan, penyimpanan dan pengendalian.
Gudang kelapan Swift Haulage ini telah diperakui Green Business Certification Inc oleh Kumpulan Bank Dunia, dilengkapi ciri-ciri mesra alam seperti penggunaan tenaga solar dan sistem penuaian air hujan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage, Loo Yong Hui berkata, gudang itu merekodkan pengurangan penggunaan tenaga 100%, serta penjimatan air sehingga 49%.
Kemudahan baharu itu dilengkapi untuk mengendalikan keperluan logistik pelanggan yang paling mencabar, dengan ruang gudang berkapasiti 296,000 kaki persegi dan 26 ruang pemuatan, serta kapasiti penyimpanan 11,544 palet dan kapasiti penyimpanan lantai 169,000 kaki persegi.
Dengan penambahan gudang serba baharu ini, kumpulan itu kini mempunyai ruang pergudangan berjumlah 1.6 juta kaki persegi.
Selain gudang baharu ini, Swift Haulage mempunyai gudang di Seberang Perai, Pulau Pinang; Tebrau, Johor; Kota Kinabalu, Sabah dan empat gudang di Pelabuhan Klang,
Di samping itu, pejabat pengangkutan baharu Swift Haulage yang meliputi kawasan seluas 8,000 persegi kaki, dilengkapi dengan bengkel seluas lebih 10,000 kaki persegi yang akan menampilkan 10 ruang khusus untuk pembaikan dan penyelenggaraan kepala lori (prime mover) dan ruang perkhidmatan penyelenggaraan tayar.
Kemudahan penyelenggaraan tercanggih ini memastikan pengangkutan kumpulan itu kekal dalam keadaan terbaik, selain meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan operasi logistiknya.
Loo berkata, kesemua gudang kumpulan itu berada di kedudukan strategik untuk memastikan kecekapan maksimum untuk pelanggan mereka.
“Kedudukan strategik ini bukan sahaja memudahkan operasi logistik yang lebih lancar tetapi juga membolehkan kami menyediakan perkhidmatan lebih pantas dan lebih kos efektif kepada pelanggan kami,” kata Loo di majlis pelancaran rasmi gudang baharu itu di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini hari ini.
Mengulas tentang perjanjian dengan Sharp Electronics Malaysia, Loo berkata ia menyerlahkan kepakaran Swift Haulage dalam menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh yang disesuaikan dengan keperluan khusus pelanggan mereka.
“Disokong oleh keupayaan Bahagian Logistik Hijau, gudang mesra alam dan komitmen kami terhadap kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan, kami di kedudukan yang baik untuk menyokong keperluan logistik Sharp Electronics Malaysia dengan cekap dan berkesan,” katanya. - DagangNews.com







