Sun Life Malaysia lancar biasiswa bernilai RM130,000 kepada pelajar UKM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sun Life Malaysia lancar biasiswa bernilai RM130,000 kepada pelajar UKM

Raymond Lew (kiri) menyampaikan replika cek biasiswa kepada Nor Halizah Md Yusup.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Sun Life Malaysia melancarkan anugerah biasiswa 'Nurturing Sun Brighter Talent', demi membangunkan insan-insan berbakat generasi depan untuk memacu pertumbuhan syarikat dan juga industri insurans dan takaful. 

 

Para penerima, Nor Halizah Md Yusop dan Hng Chong Khen dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menerima anugerah masing-masing ketika pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sun Life Malaysia dan universiti itu, baru-baru ini. 

 

Setiap penerima disampaikan anugerah biasiswa bernilai RM65,000, sijil dan MacBook. Selain itu, penerima anugerah akan menjalani program latihan amali serta mendapat kontrak pekerjaan tetap dengan Sun Life Malaysia selepas menamatkan pengajian. Sun Life Malaysia juga akan membiayai yuran peperiksaan profesional kedua-dua penerima. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata, syarikat sentiasa melabur untuk kakitangannya dengan matlamat mutlak untuk membantu mereka memanfaatkan potensi penuh masing-masing. 

 

"Menerusi biasiswa ini, selain daripada membantu pelajar yang bercita-cita tinggi mengikuti pengajian impian mereka, kami juga komited untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dengan memberi bakat tempatan peluang untuk menceburi kerjaya dalam industri insurans dan takaful.

 

“Kami berbesar hati kerana dapat berganding bahu dengan UKM untuk menyampaikan anugerah biasiswa sulung kami. Dengan permintaan dan peluang baharu yang muncul di dalam industri, kami mahu menyokong aspirasi akademik pelajar dan membolehkan bakat-bakat tempatan kita untuk terus berkembang maju dalam dunia yang sedang pantas berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

sunlife
Raymond Lew (kiri) dan Prof ChM Dr Ishak Ahmad ketika sesi pemeteraian MoU antara Sun Life Malaysia dan UKM

 

 

Dekan Fakulti Sains & Teknologi UKM, Prof ChM Dr Ishak Ahmad pula berkata, pihaknya sentiasa besungguh-sungguh dalam usaha memupuk golongan belia untuk memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan. 

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sun Life Malaysia atas sokongannya kepada UKM untuk memperkasakan generasi muda mencapai kecemerlangan akademik dan memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman pembelajaran menyeluruh agar pelajar 'bersedia menyertai industri'," katanya.

 

Nor Halizah Md Yusup, 21, dari Johor Bahru berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga, pensyarah dan semua pihak universiti yang menyokongnya dan juga kepada Sun Life Malaysia kerana memberikan bantuan kewangan. 

 

"Saya amat menghargai biasiswa ini dan saya percaya Sun Life Malaysia akan menjadi tempat kerja yang paling sesuai untuk mengembangkan kreativiti saya dalam bidang sains data," katanya. - DagangNews.com