Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Sun Life Malaysia, penyedia insurans hayat dan Takaful Keluarga memperkenalkan Program Pemeriksaan Glukosa Darah Brighter Health yang menawarkan pemeriksaan glukosa darah secara percuma kepada 12,000 rakyat Malaysia di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata, tahun ini Sun Life Malaysia bekerjasama dengan empat syarikat iaitu Walnut Wellness, Roche Diagnostics (M) Sdn Bhd, AM PM Pharmacy Sdn Bhd, dan Multicare Pharmacy Sdn Bhd.
Katanya, penganjuran program tersebut adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan kesedaran dan pencegahan diabetes.
“Ketika negara terus memerangi pandemik COVID-19, adalah penting agar kita tidak melupakan tentang pencegahan dan rawatan penyakit tidak berjangkit yang turut mengancam nyawa.
"Ini kerana, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey atau NHMS) 2019, Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia dengan hampir 3.9 juta orang dewasa menghidap diabetes," katanya.
Program Pemeriksaan Glukosa Darah Brighter Health telah dilancarkan buat pertama kalinya pada akhir 2019 dan daripada data yang dikumpulkan daripada 13,000 rakyat Malaysia menunjukkan 74.3 peratus peserta yang disaring membimbangkan dengan bacaan glukosa darah lebih tinggi daripada biasa.
"Penemuan ini membimbangkan dan pihak Sun Life Malaysia bertekad untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan awal risiko diabetes, dengan melanjutkan program ini pada tahun ini walaupun menghadapi pelbagai rintangan akibat daripada pandemik," katanya.

Peserta Program Pemeriksaan Glukosa Darah Brighter Health akan menerima e-baucer RM30 yang boleh digunakan untuk membeli meter glukosa darah Roche Accu-Check di mana-mana cawangan daripada dua farmasi yang mengambil bahagian, AM PM Pharmacy dan Multicare Pharmacy. -DagangNews.com








