Sumbangan Asas Rahmah: RM210 juta diperuntuk kepada 700,000 penerima setakat 26 Mac 2024 - MOF | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Asas Rahmah: RM210 juta diperuntuk kepada 700,000 penerima setakat 26 Mac 2024 - MOF

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta melaksanakan program bantuan subsidi tersebut yang memanfaatkan lebih 700,000 penerima. - Gambar DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk melaksanakan program bantuan subsidi bersasar, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 yang memanfaatkan lebih 700,000 penerima, yang mana melibatkan peningkatan peruntukan lima kali ganda berbanding 2023.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, setakat 26 Mac 2024 sejumlah RM210 juta telah disalurkan kepada 700,000 penerima SARA seluruh negara.

 

Katanya, pada tahun 2023, ia hanya memanfaatkan seramai 210,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM130 juta.

 

"Kerajaan telah menambah baik program SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup. 

 

"Program ini yang dilaksana secara berperingkat mulai 22 Januari 2024 untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI," katanya.

 

Beliau berkata demikan ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Zahari Kechik (Jeli-PN) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Lim berkata, antara penambahbaikan SARA untuk 2024, termasuklah memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.

 

Selain itu katanya, kerajaan turut meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada 2023. 

 

"Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600 dan penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan," katanya.

 

Bagi penerima program SARA di Semenanjung, beliau berkata, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang. 

 

Katanya, bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

 

Tambah beliau, kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa termasuk sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar dilancarkan dalam memastikan bantuan tunai kerajaan terus disalurkan kepada golongan rentan dalam mendepani cabaran kos sara hidup. - DagangNews.com