KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tempoh pelaburan yang lebih lama untuk tanaman durian menjadi isu terbesar kepada mana-mana syarikat perladangan bagi menggantikan pokok sawit yang tua dengan raja buah itu.
AmInvestment Bank Research berkata, pokok kelapa sawit hanya memerlukan tiga tahun untuk matang berbanding lima tahun untuk durian dengan keuncak hasil hanya akan dicapai selepas pokok berusia 20 tahun.
Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengakui terdapat potensi untuk syarikat perladangan menceburi tanaman durian seperti dilakukan IOI Corporation Bhd yang sudah memiliki 28 hektar ladang durian di Johor pada akhir tahun kewangan 2023 (FY23).
"Keperluan amalan tadbir urus, social dan alam sekitar (ESG) untuk ladang durian juga kurang ketat berbanding kelapa sawit. Satu-satunya isu adalah tempoh pulangan pelaburan yang panjang diperlukan untuk durian," katanya dalam nota penyelidikan mengenai industri durian di Malaysia.
Jelas AmInvestment, prospek jangka panjang industri durian adalah positif disebabkan peluang eksport ke China setelah Malaysia menerima kelulusan pada Jun 2024 untuk mengeksport buah durian segar ke Republik itu.
Sebelum ini, kata firma penyelidikan itu, Malaysia hanya dibenarkan mengeksport pulpa, pes dan buah beku ke China.
"Kini, lebih 90% durian yang dihasilkan di Malaysia dimakan secara domestik. Selain itu, bekalan terhad disebabkan oleh kekurangan tanah yang sesuai dan tempoh matang yang panjang bagi pokok durian.

"Dianggarkan terdapat 85,000 hektar hingga 90,000 hektar kawasan yang ditanam dengan durian di Malaysia berbanding 180,000 hektar hingga 200,000 hektar di Thailand.
"Kebanyakan ladang durian di Malaysia dimiliki oleh pekebun kecil dengan blok tanah yang lebih kecil daripada 10 ekar," jelasnya.
Menurut AmInvestment, terdapat tiga syarikat tersenarai yang terlibat dalam aktiviti penanaman durian di Bursa Malaysia iaitu PLS Plantations, DSR Taiko dan Matang dengan DSR Taiko dan Matang adalah menguntungkan.
ARTIKEL BERKAITAN: PLS Plantations peroleh modal RM210 juta daripada MyFarm Jepun untuk penanaman durian di Pahang
"Kami percaya bahawa pendapatan Matang terutamanya didorong oleh kelapa sawit kerana ladang duriannya masih muda. PLS Plantations mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM4.1 juta akibat harga produk sawit yang lebih rendah dan kos penyelenggaraan/penjagaan yang lebih tinggi.
"DSR mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.3 juta pada 1HFYE6/24. Pemain utama dalam industri durian Malaysia adalah syarikat-syarikat yang tidak tersenarai seperti Hernan Plantation, Sindiyan Group, dan Top Fruits," jelasnya.
Kata AmInvestment, pokok durian memerlukan masa bertahun-tahun untuk matang dan mencapai kemucak hasil dengan perusahaan ladang durian hanya jadi menguntungkan selepas tempoh lapan tahun penanaman.
"Pokok durian memerlukan lima tahun untuk matang. Pada puncaknya, pokok tersebut boleh menghasilkan lebih 100 biji durian setahun berbanding 20 biji pada tahun pertama kematangan.
"Pokok durian mencapai hasil puncak dari tahun ke 20 hingga 40. Pokok durian boleh bertahan lebih dari 100 tahun, jadi tidak perlu banyak penanaman semula," ujarnya.
Tambah AmInvestmet, penanaman durian juga mencabar kerana pokok ini mudah terdedah kepada penyakit dan perubahan cuaca selain petani perlu rajin menggunakan baja dan menguruskan air.
"Kami percaya komponen kos utama adalah buruh dan baja dengan kos penyelenggaraan adalah RM20,000-RM25,000 setiap hektar setahun.
"Pengeluar utama durian di Semenanjung Malaysia adalah Pahang, Kelantan, dan Johor. Mereka menyumbang lebih daripada 60% pengeluaran durian di Semenanjung Malaysia.
"Kebanyakan ladang durian di Pahang terletak di Bentong dan Raub. Bentong, Raub dan Balik Pulau di Pulau Pinang sesuai untuk ladang durian kerana bentuk muka bumi yang berbukit. Durian paling baik ditanam di kawasan berbukit dengan kecerunan kurang daripada 30 darjah," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, seperti komoditi lain, harga jualan durian bergantung pada kuasa pasaran permintaan dan penawaran dengan jika cuaca terlalu kering, bekalan durian akan berkurang dan harga akan meningkat.
"Menurut Statista, harga jualan purata D24 di Malaysia berkisar antara RM9.95/kg hingga RM30.10/kg dari 2014 hingga 2022," ujarnya.
Kesimpulannya, AmInvestment percaya syarikat perladangan Malaysia lebih berminat menceburi industri tenaga boleh baharu (RE) berasaskan solar berbanding menanam durian.
"Daripada durian, kami percaya syarikat perladangan kini memberi tumpuan kepada pembangunan solar.
"Tempoh pulangan pelaburan untuk ladang solar adalah lebih pendek berbanding durian dan kami fikir lebih mudah untuk mengurus ladang solar berbanding ladang durian," katanya. - DagangNews.com








