KUALA LUMPUR 13 Mei - National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd (NADI) menerusi anak syarikatnya menjalin kerjasama strategik bersama sebuah syarikat Indonesia bagi mengedar 15 juta butir peluru ke pasaran Republik itu.
Kerjasama SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO) dengan PT. Dwimitra Pasifik bertujuan memenuhi permintaan terhadap peluru sukan menembak premium di seluruh Indonesia yang semakin meningkat.
Dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai, SMEO akan membekalkan dan menghantar 15 juta butir peluru berkualiti dalam tempoh tiga tahun.
"MoU tersebut menggariskan komitmen SMEO untuk membekalkan rangkaian produk peluru berkualiti khusus untuk menggiatkan aktiviti sukan menembak di Indonesia.
"Kerjasama ini juga melambangkan komitmen bersama untuk meningkatkan kualiti dan ketersediaan peralatan berkaitan sukan menembak di Indonesia, sebuah negara dengan perkembangan minat sukan menembak kompetitif yang semakin menggalakkan," kata SMEO dalam kenyataan hari ini.
Produk yang dibekalkan itu akan disesuaikan untuk menggiatkan aktiviti sukan menembak di Indonesia.
"Kerjasama ini juga melambangkan komitmen SMEO terhadap kecemerlangan dan strateginya untuk meluaskan kehadirannya dalam pasaran Asia Tenggara dan seterusnya," kata anak syarikat NADI itu.
PT. Dwimitra Pasifik merupakan pengedar berlesen senjata api dan produk berkaitan yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

Satu lagi MoU yang dimeterai sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Malaysia 2024 baru-baru ini ialah dengan SAC Arms Sdn Bhd..
Dalam kenyataannya, SMEO memaklumkan, kerjasama dengan SAC Arms akan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua buah syarikat untuk mengoptimumkan proses pengeluaran, memastikan kualiti produk dan meneroka peluang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
SMEO sebelum ini menandatangani kontrak RM40 juta pada 2022 dengan SAC Arms selama 5 tahun untuk menghasilkan dan mengedar pelbagai peluru senapang patah bagi pasaran komersial tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SMEO, Datuk Shah Eikhmarizan Mohd Shahrom berkata, kerjasama tersebut mampu meningkatkan keupayaan SMEO dalam pengeluaran peluru senjata kecil.
"Kerjasama ini menzahirkan komitmen kami dalam menghasilkan produk peluru berkualiti tinggi untuk pelanggan kami di samping memacu inovasi dan kecekapan operasi kami," katanya.
Pengarah Urusan SAC Arms Sdn Bhd, Tan San Kwang pula berkata, kerjama dengan SMEO bakal mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran pertahanan apabila mengambil kira pengetahuan dan pengalaman selama berpuluh-puluh tahun yang dimiliki oleh SMEO.
"Kami yakin dengan kepakaran dan sumber kami, kami akan lebih berupaya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dengan teknologi yang terkini,” jelasnya.
Pengerusi Eksekutif SME Ordnance, Jeneral Tan Sri Mohd Shahrom Nordin pula teruja dengan potensi kedua-dua kerjasama tersebut,
"Pemeteraian MoU ini merupakan detik-detik penting bagi SME Ordnance dalam usaha untuk terus menjayakan misi bagi menghasilkan peluru berkualiti tinggi bagi kegunaan pasaran global.
"Rekod prestasi kami yang dipercayai dan berkualiti, di samping rangkaian pengedaran kukuh rakan kongsi kami, akan memastikan pelanggan mendapat akses kepada produk terbaik untuk kegunaan mereka," ujarnya. - DagangNews.com








