KUALA LUMPUR 10 Mei - Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat 17.4% kepada 891,779 tan pada April 2022, berbanding 759,732 tan pada Mac berikutan pengeluaran yang lebih tinggi.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataannya hari ini berkata, inventori minyak sawit diproses turut bertambah 5.2% bulan ke bulan kepada 750,215 tan daripada 713,112 tan sebelum ini.
Secara keseluruhannya, katanya, stok minyak sawit meningkat 11.5% kepada 1.64 juta tan daripada 1.47 juta tan pada Mac 2022.
"Bagi pengeluaran, output MSM naik 3.6% bulan ke bulan kepada 1.46 juta tan berbanding 1.41 juta tan sebelum ini," katanya seperti dilapor Bernama.
Pengeluaran isirung sawit menokok 2.23% kepada 367,159 tan daripada 359,165 tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran minyak isirung sawit melonjak 4.59% kepada 168,068 tan daripada 160,693 tan pada Mac.
Menurut MPOB, eksport minyak sawit merosot 17.7% bulan ke bulan kepada 1.05 juta tan pada April berbanding 1.28 juta tan pada Mac.
Bagaimanapun, katanya, eksport minyak isirung sawit menokok 7.2% bulan ke bulan kepada 74,203 tan berbanding 69,221 tan pada bulan sebelumnya.
"Eksport oleokimia berkurangan 0.46% bulan ke bulan kepada 242,863 tan pada April berbanding 243,978 tan sebelum ini, manakala eksport biodiesel melonjak 47.68% bulan ke bulan kepada 23,411 tan daripada 15,853 tan, katanya. - DagangNews.com








