Star View tarikan terbaharu di Menara Alor Setar | DagangNews Skip to main content

Star View tarikan terbaharu di Menara Alor Setar

kedah

Teks & Video Oleh EMIR MUKMIN 

ALOR SETAR 15 Julai - Menara Alor Setar yang menjadi mercu tanda ibu negeri Kedah bakal menampilkan tarikan terbaharu berupa pelantar pemandangan terbuka dinamakan 'Star View' yang membolehkan para pengunjung merasai pengalaman berada di atas lantai kaca pada ketinggian 105 meter dari permukaan tanah. 

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Ainol Shaharina Sahar berkata, pembinaan pelantar tersebut diilhamkan daripada kewujudan tarikan hampir serupa dikenali sebagai 'Sky Box' yang dibina di 'Sky Deck', Menara Kuala Lumpur. 
 

Menara Alor Setar
Menara Alor Setar 


"Terdapat dua pelantar Star View di Menara Alor Setar iaitu di bahagian utara dan selatan yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan bandar raya ini dari pelbagai arah. 

"Di bahagian utara, para pengunjung dapat menyaksikan keindahan jelapang padi, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan Gunung Keriang manakala di bahagian Selatan pula kelihatan beberapa bangunan ikonik negeri ini antaranya Masjid Zahir, Balai Nobat dan balai Besar," katanya dalam sesi taklimat media di menara tersebut di sini, hari ini. 

kedah 2

Menara Alor Setar diuruskan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Telekom Malaysia Berhad (TM). 

Pelantar Star View tersebut terletak di Dek Terbuka dengan para pengunjung turut berpeluang menyaksikan keindahan Pulau Langkawi pada hari cerah. 

Ainol menambah, bebarapa penambah baikan turut dibuat antaranya tempat menunggu yang selesa, lif hidraulik serta reka bentuk lantai dan kemasan dinding eksklusif buat tatapan pengunjung.

kedah

"Kunjungan ke Starview bakal dibuka kepada orang ramai selepas dirasmikan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor tidak lama lagi. 

"Insya Allah tarikhnya akan dimaklumkan kelak," katanya. 

kedah

Sementara itu katanya, promosi kemasukkan percuma ke dek pemerhati (Observation Deck) yang terletak pada paras ketinggian 88 meter sejak 1 Julai lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung. 

"Selepas tiga bulan ditutup menara ini kembali menjadi tumpuan. Kehadiran pengunjung amat menggalakkan dan diharap kewujudan Star View dapat menghadirkan sesuatu yang baharu buat mereka pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com