SSM terima hampir 600 aduan pelaburan palsu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SSM terima hampir 600 aduan pelaburan palsu

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerima 591 aduan berkaitan syarikat yang menawarkan pelaburan palsu di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, sepanjang tempoh 2022 sehingga Julai 2024.

 

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata, jumlah yang direkodkan itu mencerminkan masalah yang serius dan perlu ditangani secara bersepadu.

 

“Pada 2022, sebanyak 28 penipuan pelaburan dan tiga kes penipuan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 telah direkodkan namun, pada tahun lepas jumlah aduan telah meningkat mendadak kepada 320 kes membabitkan penipuan pelaburan manakala 46 kes telah direkodkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.

 

“Sehingga Julai 2024, sebanyak 190 kes penipuan pelaburan direkodkan dan empat kes penipuan dalam Skim Kepentingan 2016,” kata beliau selepas merasmikan Program Pementoran Keusahawanan Peringkat Negeri Sembilan 2024 pada Isnin.

 

Beliau berkata, selain pelaburan palsu, suruhanjaya itu juga menerima aduan mengenai skim derma tabung kebajikan.

 

Ahmad Sabki berkata SSM sedang bekerjasama rapat dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dalam menangani penipuan pelaburan yang semakin berleluasa.

 

Beliau juga melaporkan sebanyak 123,570 perniagaan telah didaftarkan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) sejak diperkenalkan pada 2021 dan daripada jumlah itu, 57,953 melibatkan pelajar IPT dan selebihnya membabitkan usahawan daripada kumpulan B40.

 

"Melalui skim ini, mereka akan diberi pengecualian yuran mendaftar sehingga RM70, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kami menggalakkan orang ramai menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan," ujar beliau. 

 

Beliau berkata, SSM masih mempunyai dana geran sebanyak RM3 juta yang boleh dimanfaatkan oleh 36,000 peniaga untuk mendaftar perniagaan mereka secara percuma.

 

Semasa program itu, SSM menyampaikan sumbangan Zakat Korporat Wakalah berjumlah RM45,000 dan RM20,000 melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat kepada surau, sekolah, pusat asuhan kanak-kanak dan usahawan asnaf di Negeri Sembilan.- DagangNews.com