KUALA LUMPUR 22 Mac - SPX Express (SPX) meraikan kenaikan prestasi kecekapan e-dagang seluruh negara dengan pembukaan Pusat Pengagihan Bukit Raja baharu di Klang, Selangor.
SPX memaklumkan, sejak Januari 2024, SPX mencapai penambahbaikan 30% dalam waktu penghantaran terhadap bungkusan yang dihantar dari kawasan Lembah Klang ke luar Lembah Klang.
Katanya, pihaknya berterusan menambah baik keseluruhan rangkaian logistik di seluruh Malaysia, yang mana 50% pelanggan kini boleh menerima pesanan mereka dalam masa tidak lebih tiga hari.
"Pada 2024, SPX berazam untuk berterusan meningkatkan kapasiti dan kawasan penghantaran, menambahbaik pengalaman menyeluruh pengguna,dan mengurangkan kos untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.
"Rangkaian meluas SPX merangkumi lebih 140 hab dan gudang dan lebih 1,200 pusat perkhidmatan yang menyokong penghantaran barangan dari penjual dan kutipan barangan oleh pembeli dari seluruh Malaysia meletakkan SPX sebagai peneraju logistik e-dagang efisien.
"SPX merancang untuk mengembangkan pusat yang menawarkan khidmat kutipan barangan oleh pembeli kepada 700 dalam masa enam bulan, membolehkan pembeli dalam talian untuk mengambil pesanan mereka di lokasi yang bersesuaian dengan rutin harian mereka," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua SPX Express Malaysia, Cheah Lee Sun berkata, Pusat Pengagihan Bukit Raja menunjukkan perkembangan penting dalam kebolehan perkhidmatan SPX Express dalam sektor e-dagang.

Beliau berkata, pelaburan strategik itu membolehkan pihaknya untuk meningkatkan tawaran nilai buat vendor e-dagang, terutamanya mereka yang beroperasi di luar kawasan Lembah Klang.
Dengan sistem gudang dan pengurusan pengagihan terbaik, pihaknya menyaksikan penambahbaikan berkali ganda dalam efisiensi pengendalian.

"Melihat ke depan, kami komited untuk melakukan penambahbaikan berterusan dan merancang untuk mengintegrasikan teknologi canggih di pusat-pusat operasi kami sepanjang tahun, agar kami boleh mencapai kapasiti operasi 1.5 juta bungkusan pada akhir tahun," katanya. - DagangNews.com








