SPE UPM diiktiraf sebagai Sekolah Perniagaan Antarabangsa daripada EFMD | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPE UPM diiktiraf sebagai Sekolah Perniagaan Antarabangsa daripada EFMD

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf sebagai Sekolah Perniagaan Antarabangsa dalam sidang konferensi tahunan badan penarafan antarabangsa, European Foundation for Management Development (EFMD).

 

Konferensi yang diadakan di Emlyon Bussiness School, Lyon, Paris selama tiga hari bermula 11 Jun 2023 turut mengadakan sesi penyerahan sijil akreditasi EFMD Quality Improvement System (EQUIS) kepada Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman, disaksikan oleh Dekan SPE UPM, Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin.

 

Mohd Roslan berkata, pihaknya mengambil peluang dari pengiktirafan antarabangsa itu untuk mempromosi pendidikan tinggi negara selain usaha UPM untuk menarik minat bakat terbaik antarabangsa untuk ke Malaysia.


 
Beliau berkata, usaha itu juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.

 

"Dengan ini akan menarik ramai bakat terbaik dari seluruh dunia yang secara langsung membantu memperkukuh kualiti dan standard pendidikan tinggi negara.

 

"Akreditasi EQUIS membawa nilai tambah yang berharga kepada akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) yang sedia ada. 

 

"Ia mengukuhkan kedudukan SPE UPM sebagai institusi pendidikan perniagaan terkemuka di Malaysia dan di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

upm
Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (dua, kanan) menerima sijil akreditasi daripada Pengarah EQUIS, Prof Alfons Sauquet (kiri), sambil disaksikan Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin (kanan) ketika sidang konferensi tahunan EFMD di Paris, Perancis pada 12 Jun 2023. 

 

 

Pada November 2022, SPE UPM menyertai 2% kumpulan elit sekolah perniagaan yang diiktiraf EQUIS daripada lebih kurang 16,000 sekolah perniagaan di seluruh dunia dan pertama di Malaysia setelah melepasi audit akreditasi EQUIS bagi tempoh tiga tahun.

 

Sementara itu, Mohd Roslan menghadiri konferensi tahunan antarabangsa itu yang membincangkan tema utama iaitu peranan penting sekolah perniagaan dalam dunia yang tidak stabil, tidak dapat diramalkan dan tidak mampan. - DagangNews.com