S&P Global unjur pertumbuhan pinjaman bank di Malaysia bagi 2023 kekal antara 5-6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

S&P Global unjur pertumbuhan pinjaman bank di Malaysia bagi 2023 kekal antara 5-6%

KUALA LUMPUR 17 Nov - S&P Global Ratings menjangkakan pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia kekal antara 5 hingga 6% pada 2023 bersandarkan kepada ekonomi negara yang stabil yang akan menyokong kepercayaan kredit perniagaan dan pengguna Malaysia.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang pada 6.6% tahun ini dan purata 4.5% dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Dalam Ulasan Prospek Bank 2023 oleh S&P Global Ratings yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan itu berkata, bank juga boleh mengatasi risiko kualiti aset yang semakin meningkat kerana permodalan yang kukuh dan penimbal peruntukan mampu mengimbangi tekanan kualiti aset.

 

"Permodalan kukuh bank-bank Malaysia setakat 30 Jun 2022 ialah pada 14.3% nisbah ekuiti biasa Tahap-1, dan penampan peruntukan sebanyak 1.8% daripada jumlah pinjaman akan membantu mereka menyerap peningkatan tekanan kredit yang sederhana.

 

"Bagaimanapun, kualiti aset dijangka merosot dan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) industri mungkin akan meningkat kepada 2.5 hingga 3% dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 1.8% pada akhir Jun 2022 berikutan tamatnya tempoh program moratorium," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

 

BNM

 

 

Menurutnya, pinjaman kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut untuk pulih daripada pandemik mungkin berisiko.

 

Inflasi yang lebih tinggi dan kadar faedah menyebabkan ia menjadi lebih teruk. Penampan peruntukan tinggi bank juga harus mengehadkan keperluan dalam peruntukan tambahan walaupun NPL meningkat.

 

Sementara itu, kos kredit pula akan menurun kepada 30 hingga 40 mata asas (bps) tetapi kekal lebih tinggi daripada paras prapandemik kerana institusi perbankan berkemungkinan kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan global.

 

Namun, katanya, pendapatan bank boleh menghampiri tahap prapandemik bermula 2023, dengan margin yang lebih tinggi, kos kredit yang disederhanakan dan kadar cukai yang dinormalkan akan mendorong dalam peningkatan itu.

 

"Dalam kes asas kami, kami meramalkan pulangan purata aset sebanyak 1.3 hingga 1.4%, berbanding 1.1 hingga 1.2% yang dianggarkan untuk 2022," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

S&P Global Ratings juga menekankan bahawa risiko pasaran hartanah harus dikekalkan walaupun isu lebihan bekalan dalam pasaran hartanah kekal sebagai cabaran berstruktur.

 

"Tetapi, pertumbuhan sederhana dalam harga hartanah pada beberapa tahun kebelakangan ini, nisbah pinjaman kepada nilai berhemat bank dan pinjamanyang berhati-hati kepada risiko mengehadkan segmen komersial daripada sektor ini," jelasnya.

 

Melangkah ke hadapan, ia berkata pada tahun depan, inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi boleh menjejaskan permintaan kredit dan meningkatkan risiko mungkir bagi sesetengah pengguna yang berpendapatan rendah serta kepada PKS.

 

"Kami melihat risiko ini sebagai masih boleh diurus. Walaupun ia bukan kes asas kami, peningkatan mendadak dalam pengangguran juga boleh meningkatkan risiko kualiti aset untuk sektor perbankan.

 

"Beberapa bank digital baharu boleh melancarkan operasi pada 2023. Walaupun kami percaya bank yang besar akan mengekalkan bahagian pasaran mereka, ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana model perniagaan mereka berkembang untuk bertindak balas dengan persaingan digital," katanya.

 

Melihat secara lebih meluas lagi terhadap sektor perbankan global, ia berkata sektor perbankan akan menjadi lebih sukar pada 2023. 

 

Walaupun sebahagian besar penilaian bank adalah stabil, S&P Global menjangkakan penimbal penting yang telah dibina oleh bank sepanjang 10 tahun yang lalu akan diuji kali ini. - DagangNews.com