SME Corp peruntuk RM10 juta bagi perusahaan mikro di Sabah, Sarawak | DagangNews Skip to main content

SME Corp peruntuk RM10 juta bagi perusahaan mikro di Sabah, Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - SME Corp Malaysia telah memperuntukkan RM10 juta untuk perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak yang disalurkan melalui Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak.

 

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menyediakan bantuan kewangan berbentuk geran sehingga RM250,000 khusus untuk perusahaan mikro Bumiputera Sabah dan Sarawak menerusi Program Pengukuhan Mikro Madani.

 

Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata akses kepada pembiayaan kekal menjadi isu utama yang membelenggu PMKS, khususnya perusahaan mikro, yang mendorong agensi tersebut memperkenalkan Program Mikro Madani.

 

Beliau berkata program terbabit menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar melalui lima inisiatif utama iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM), Pembiayaan Perniagaan Mikro (MBF), Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera), BEEP Plus Sabah dan Sarawak serta Baucar Status PMKS.

 

 

Tan Sri Bernard Giluk Dompok
Tan Sri Bernard Giluk Dompok

 

 

“Sehingga September 2023, SME Corp telah memperakukan pendaftaran sebanyak 27,054 pemohon berstatus PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana).

 

“Daripada jumlah ini, sebanyak 9.7% atau 2,628 PMKS adalah dari Sarawak (1,573) dan Sabah (1,055),” ujar beliau dalam ucapan alu-aluan siri jelajah dan sesi taklimat Program Mikro Madani di Kota Kinabalu hari ini, yang disertai lebih 300 peserta.

 

Melalui program berkenaan, bantuan kewangan dalam bentuk baucar bernilai RM100 turut disediakan bagi yuran pemprosesan pendaftaran Status PMKS, bagi memastikan penerima manfaat adalah dari kalangan perusahaan mikro.

 

Mengulas lanjut tentang inisiatif BEEP Plus Sabah dan Sarawak, Bernard berkata ia dilaksanakan khusus untuk membantu perusahaan mikro terutamanya Bumiputera, melalui geran padanan sehingga 70% daripada kos projek atau maksimum RM250,000 bagi tujuan peningkatan kapasiti.

 

Jelasnya, ini termasuk perolehan mesin dan peralatan, penambahbaikan pembungkusan produk, penerapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan e-dagang, sewaan dan pengubahsuaian premis perniagaan serta pelaksanaan aktiviti promosi untuk meningkatkan jualan dan penjenamaan.  - DagangNews.com