SmartTag, RFID tidak dipasang lorong tol sama kerana berbeza teknologi dan pembekal | DagangNews Skip to main content

SmartTag, RFID tidak dipasang lorong tol sama kerana berbeza teknologi dan pembekal

Pengenalan RFID adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem aliran bebas berbilang lorong menjelang 2025.

KUALA LUMPUR 23 Mac - Sistem SmartTag dan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) tidak diletakkan di lorong tol yang sama kerana berbeza teknologi yang digunakan dan berlainan pembekal.

 

Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mereka dipisahkan kerana pembaca tag mungkin 'keliru' jika diletakkan di lorong yang sama.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris, yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya akan mempertimbangkan untuk meletakkan sistem SmartTag dan RFID di bawah lorong biasa kerana ia kini dipisahkan, di Dewan Negara hari ini.

 

Menurut beliau, pelaksanaan semasa (RFID) di plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) adalah penting bagi memastikan sistem itu berfungsi dengan cekap sebelum penggunaannya diperluaskan.

 

Dalam tempoh percubaan itu ujar beliau, sebarang masalah termasuk dari aspek pentadbiran dan perundangan akan dikenal pasti dan diselesaikan supaya sistem itu tidak membebankan pemandu.

 

"Ini yang kita lihat dan usahakan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya," katanya.

 

Fadillah berkata, RFID itu berharga RM35 setiap satu, termasuk kos tag dan pemasangan, tetapi kerajaan telah meminta Touch 'n Go Sdn Bhd untuk melihat kemungkinan menjadikannya lebih murah.

 

Fadillah berkata demikian sebagai menjawab soalan asal Senator Muhammad Zahid Md Arip, yang bertanya sama ada LLM mempunyai asas undang-undang untuk memaksa pemandu memasang RFID pada harga RM35 sedangkan kad Touch 'n Go (TnG) hanya berharga RM10.

 

"Pelaksanaan RFID semasa memberi pilihan kepada pemandu dan pihak berkuasa lebuh raya mengekalkan mod pembayaran lain seperti kad Touch 'n Go dan SmartTag," katanya.

 

Beliau berkata, pengenalan RFID adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem aliran bebas berbilang lorong menjelang 2025. - DagangNews.com