KUALA LUMPUR 26 Jun - RHB Investment berkata Skyworld Development Bhd adalah pemaju perumahan mampu milik berkualiti sejak projek sulungnya dilancarkan pada 2014, mencapai margin keuntungan yang baik.
Firma penyelidikan itu berkata bank tanah dan pembangunan di luar negara merupakan pemangkin pendapatan utama syarikat yang merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Julai 2023.
"Pada masa ini, kumpulan itu mempunyai 22.5 hektar bank tanah di Kuala Lumpur, di mana 15.05 hektar telah diperuntukkan untuk sepuluh pelancaran yang dirancang dengan jumlah nilai pembangungan kasar (GDV) sebanyak RM4.08 bilion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu margin keuntungan syarikat lebih tinggi daripada purata industri disebabkan tumpuan khas pada kecekapan pembangunan.
Jelasnya, ketika negara dilanda COVID-19 serta kos bahan binaan yang tinggi, kumpulan itu dapat mengekalkan margin kasarnya pada 30 hingga 34% dalam tempoh empat tahun yang lalu, di mana kecekapan pembangunan mengurangkan pembaziran bahan binaan dan penyepaduan bahan binaan menjadikan pengurusan kos pembangunan lebih baik.
RHB Investment memberi nilai saksama indikatif sebanyak 90 sen sesaham, berdasarkan diskaun 50% kepada aset bersih dinilai semula (RNAV) dan mengambil kira model perniagaan pemulihan pantas syarikat pemaju tersebut dan marginnya yang menarik.
“Kami menganggarkan keuntungan bersih Skyworld Development Bhd berkembang sepanjang tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 23%, 2% dan 11%.
“Kami menganggarkan Skyworld merekodkan pendapatan sebanyak RM130 juta dalm FY23, kemudian RM133 juta dan RM148 juta pada FY24-FY25, dipacu oleh pendapatan sebanyak RM869 juta, RM922 juta dan RM1,030 juta dalam tempoh yang sama.
“Jualan semasanya yang belum dibilkan sebanyak RM968 juta dan pelancaran projek baharu seharusnya menyokong pertumbuhan pendapatan dalam jangka pendek,” katanya.
Berdasarkan pendapatan dan anggaran dividen sesaham (DPS), RHB Investment berkata saham tersebut mempunyai harga-kepada-pendapatan (P/E) pada FY24 sebanyak 6 kali dan hasil dividen sebanyak 3.4%, pada harga terbitan 80 sen.
Di samping itu, kunci kira-kira itu mempunyak penggearan bersih yang menurun kepada 36% pada FY22 daripada 86% dalam FY20, memandangkan peningkatan kukuh dalam pendapatan.
Pulangan ke atas ekuiti (ROE) Skyworld berjulat daripada 17.6% hingga 22.4% pada FY20-FY22,yang menurut firma itu, agak tinggi jika dibandingkan dengan rakan industrinya, seperti UOA Development, Matrix Concepts dan Mah Sing. - DagangNews.com








