Skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik diperluas untuk kurangkan kesan cukai berganda - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik diperluas untuk kurangkan kesan cukai berganda - MOF

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kerajaan kini bersetuju supaya skop pengecualian perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama.

 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada maklum balas dan pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen.

 

Katanya, ia adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik. 

 

"Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut. 

 

"Kementerian Kewangan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri terutamanya daripada sektor logistik bagi memuktamadkan pindaan ke atas Garis Panduan bagi membolehkan ianya dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut MOF, ketika ucapan penggulungan Titah Di-Raja di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah mengumumkan bahawa MOF akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan bagisektor logistik untuk mengurangkan kesan cukai berganda.

 

Katanya, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024, perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6% mulai 1 Mac 2024. 

 

"Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik sebelum pelaksanaan perubahan cukai ini," katanya.

 

Katanya, kerajaan telah memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, perkhidmatan logistik aktiviti 'transhipment', perkhidmatan logistik aktiviti transit, perkhidmatan logistik 'door-to-door', perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang.

 

"Bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik, kerajaan juga memberi kemudahan pengecualian antara perniagaan B2B yang mana penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama," katanya.

 

Sementara itu, kerajaan memahami keperluan pemain industri untuk mempunyai masa yang mencukupi dalam meminda sistem pengkomputeran mereka. 

 

Sehubungan itu katanya, penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh 1 bulan persediaan dan akan hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6% mulai 1 April 2024.

 

Katanya, MOF berharap layanan khas yang diberikan itu dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban. - DagangNews.com