KUALA LUMPUR 23 Mei - Sime Darby Berhad melaporkan untung bersih sebanyak RM340 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24), meningkat 41.7% berbanding dengan suku yang sama tahun lalu.
Pendapatan pada suku itu pula berjumlah RM18.8 bilion, meningkat sebanyak 63.4% berbanding dengan RM11.5 bilion pada Q3 FY2023.
Menurut Sime Darby dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan perniagaan industri serta keuntungan daripada UMW Holdings Berhad dalam suku yang dikaji adalah penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan bersih konglomerat itu.
Dalam bahagian industri, keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat sebanyak 52.1% kepada RM359 juta dalam 3QFY24, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang lebih tinggi dari operasi di Australasia.
Ini sebahagian besar disumbangkan oleh peningkatan sokongan produk dan penghantaran peralatan perlombongan, serta keuntungan dari anak syarikat Kumpulan; Onsite Rental Group (Onsite) dan Cavpower Group (Cavpower).
Dari segi perniagaan permotoran, PBIT meningkat sebanyak 5.9% kepada RM180 juta dalam 3QFY24, didorong oleh operasi di Malaysia yang mencatatkan peningkatan PBIT sebanyak 57.1% kepada RM121 juta.
PBIT operasi Singapura juga lebih dari dua kali ganda, terutamanya disebabkan oleh penjualan kenderaan elektrik yang lebih tinggi.
Prestasi yang cemerlang oleh operasi Malaysia dan Singapura membantu untuk melindungi kesan margin kenderaan yang rendah di operasi China.
PBIT untuk bahagian UMW yang baru diambil alih direkodkan pada RM262 juta bagi suku tersebut, terutamanya disumbangkan oleh perniagaan automotif UMW.
Mengenai prospek 2024, Sime Darby berkata, pihaknya terus menghadapi keadaan perniagaan yang mencabar di China dan tekanan inflasi kos dan kadar faedah tinggi yang berterusan terutamanya di Australasia.
Katanya, operasi industri di Australia terus disokong oleh permintaan dari sektor perlombongan dan sumbangan keuntungan dari pengambilalihan terkini (Onsite dan Cavpower).
"Operasi di China dijangka kekal lembap dalam tempoh dekat. Permintaan untuk kenderaan bermotor di Malaysia dijangka perlahan dalam separuh kedua tahun 2024 mengambil kira penyasaran subsidi bahan apidan cukai barang bernilai tinggi (HGVT).
"Keadaan perniagaan di China kekal mencabar dengan persaingan yang sengit dan penjualan dengan diskaun yang tinggi oleh syarikat automotif," jelasnya sambil menjangkakan prestasi kewangan FY24 akan jauh lebih baik daripada tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, suku ketiga berakhir dengan pencapaian yang membanggakan dengan Bahagian Industri terus menjadi pendorong utama, memanfaatkan prospek dalam sektor perlombongan terutamanya di Australasia.
Katanya, ni menunjukkan bahawa perniagaan perlombongan di Australia masih sangat kuat dan terus menguntungkan.
"Suku ini juga menandakan sumbangan suku penuh pertama Bahagian UMW kepada Kumpulan. Untuk masa depan, integrasi UMW ke dalam Sime Darby akan terus menjadi keutamaan utama," katanya.- DagangNews.com








