KUALA LUMPUR 28 Ogos - Sime Darby Property Berhad menyemak semula sasaran jualannya kepada RM2.7 bilion daripada RM2.3 bilion sebelum ini didorong prospek jualan yang kukuh pada separuh kedua tahun ini.
Pada separuh pertama tahun ini, pemaju hartanah itu merekodkan jualan RM1.5 bilion, mewakili 65% daripada sasaran jualan asalnya.
Segmen perindustrian merupakan penyumbang utama dengan 40% daripada RM597 juta daripada jumlah jualan yang dicapai dalam tempoh tersebut.
Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan pasaran yang berdaya tahan, yang turut memberikannya peluang untuk memaksimumkan pertumbuhan pembangunan hartanahnya pada tahun-tahun akan datang.
"Kami optimis dengan keupayaan kami bagi mencapai matlamat tahun ini dan seterusnya berusaha ke arah memaksimumkan nilai kepada pihak berkepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23), Sime Darby Property mencatatkan untung bersih sebanyak RM71.07 juta, lebih rendah daripada RM105 juta pada suku yang sama sebelumnya, terutamanya disebabkan bahagian kerugian yang lebih tinggi daripada usaha sama dan sumbangan yang lebih lemah daripada keuntungan lain.
Bagaimanapun, hasil pada suku berkenaan lebih tinggi pada RM688.92 juta berbanding RM615.61 juta pada suku sama pada 2022.
Ini menjadikan keuntungan bersih separuh pertama kumpulan kepada RM131.74 juta berbanding RM156.56 juta pada 1HFY22 dan hasil kepada RM1.37 bilion berbanding RM1.1 bilion dalam tempoh yang sama pada 2022.
Menurut kumpulan itu, inventori siap berkurangan dengan ketara kepada RM237.7 juta daripada RM277.2 juta pada 31 Disember 2022, tahap paling rendah pernah dicapai sejak pengasingannya.
Kumpulan itu mencatatkan rizab tunai sebanyak RM795.4 juta dan nisbah penggearan bersih sebanyak 20.7%.
Sementara itu, kumpulan itu juga merekodkan jualan tidak dibilkan sebanyak RM3.8 bilion pada 30 Jun 2023, berbanding RM3.6 bilion pada 31 Disember 2022, memastikan keterlihatan hasil untuk tiga tahun akan datang.
Tempahan semasa berjumlah RM1.9 bilion pada 6 Ogos 2023. - DagangNews.com








