Silverlake Axis biayai pembangunan bakat teknologi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Silverlake Axis biayai pembangunan bakat teknologi Malaysia

Andrew Tan (kiri) dan Howie Chang ketika memeterai MoU antara Silverlake Axis dan Forward School.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Syarikat tersenarai di Bursa Singapura, Silverlake Axis Ltd (SAL) yang merupakan firma peneraju teknologi, perisian dan perkhidmatan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Forward School, sebuah sekolah teknologi dan kemahiran masa hadapan baharu berpusat di Pulau Pinang.

 

MoU menekankan komitmen SAL untuk memupuk bakat teknikal generasi akan datang, lebih-lebih lagi membina saluran baharu bagi melahirkan bakat-bakat mampan dan segar diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dalam kumpulan SAL. 

 

Usaha sama baharu bersama Forward School merangkumi penubuhan Program Penajaan SAL, dirancang secara strategik untuk mengambil kerja pelajar yang layak, mewujudkan saluran penciptaan bakat dan pelan penggantian yang direka bagi menawarkan nilai terbaik bagi pelajar dan kumpulan syarikat ini.

 

Pelajar tajaan akan memperoleh peluang untuk melakukan latihan amali bersama SAL sebelum berpotensi ditawarkan pekerjaan tetap selepas tamat minimum dua tahun pengajian di Forward School. 

 

Tawaran kerja tetap akan tertakluk kepada prestasi akademik. Kriteria layak mengkehendaki calon rakyat Malaysia, berusia antara 18 hingga 30 tahun, berada dalam landasan untuk meraih CGPA 3.30 di dalam keputusan akademik mereka.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Silverlake Axis, Andrew Tan berkata, insaniah sentiasa menjadi teras di dalam strategi perniagaan pihaknya, dan usaha sama ini membantu mereka merealisasikan wawasan ini.

 

Beliau berkata, pihaknya gembira menjalin kerjasama dengan Forward School, dan berharap untuk bersama-sama membangunkan himpunan bakat Malaysia.

 

"Ini adalah peluang lengkap untuk kami membantu Forward School mempertingkatkan asas minda muda bersemangat yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Forward School, Howie Chang berkata, pihaknya cukup berbesar hati untuk menjalin usaha sama dengan Silverlake Axis dan melancarkan Program Penajaan SAL. 

 

Katanya, inisiatif ini menunjukkan komitmen teguh mereka ke arah memberi pendidikan dan memupuk bakat rakyat Malaysia.

 

"SAL berada di barisan depan pembangunan komuniti dan latihan kemahiran, dan program penajaan ini adalah bukti kepada pelaburan mereka di dalam bidang tersebut," katanya. - DagangNews.com