SFZ Forest City mampu tarik FDI tinggi ke Johor - penganalisis | DagangNews Skip to main content

SFZ Forest City mampu tarik FDI tinggi ke Johor - penganalisis

Forest City juga merupakan satu pembangunan hartanah swasta, oleh itu ia perlu menyediakan strategi perniagaan yang kompetitif.

PENGUMUMAN pelaksanaan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City mampu menyuntik pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi sekiranya dasar dan insentif dirangka mengambil kira kos dan memudahcara urusan menjalankan perniagaan di kawasan terlibat.

 

Inisiatif itu mampu bersifat melengkapi ekosistem ekonomi di Singapura yang merupakan hab kewangan serantau dengan pelbagai kelebihan dimiliki Johor seperti akses mudah melalui LinKedua selain infrastruktur pengangkutan udara dan laut.

 

Penganalisis ekonomi dan pakar hartanah, Faez Jumabhoy yang juga merupakan Pengarah di Globus Holdings Limited (HK) berkata, kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap proaktif dalam usaha mengukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Singapura dengan kedua-dua negara bakal beroleh manfaat.

 

SFZ dan juga Zon Ekonomi Khas (SEZ) mempunyai potensi lebih tinggi untuk berjaya dalam tempoh masa singkat apabila terdapat kerjasama dan koordinasi baik antara kedua-dua negara.

 

 

 Faez Jumabhoy
                           Faez Jumabhoy

 


Baru-baru ini, Singapura dan Zurich telah dinobat sebagai destinasi utama tinjauan kos sara hidup dijalankan Economist Intelligence Unit’s 2023.

 

Dengan adanya inisiatif SFZ dan juga SEZ, Johor mampu mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi segelintir warga Singapura.

 

Tanpa mengambil kira faktor kadar tukaran matawang asing kedua-dua negara, kos pemilikan kediaman di Johor adalah jauh lebih mampu dimiliki berbanding di Singapura sekali gus turut dapat membantu mengurangkan isu hartanah yang dihadapi republik tersebut ketika ini.

 

Kos sara hidup yang lebih rendah dengan penawaran pelbagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa, pusat beli belah, kemudahan rekreasi seperti padang golf dan juga pelbagai destinasi pelancongan turut menjadi faktor penarik.

 

Faez turut menambah bahawa kepelbagaian ekonomi di Malaysia yang mana ia tidak bergantung kepada satu sektor semata-mata, sebaliknya menawarkan pelbagai peluang perniagaan kepada pelabur asing.

 

Hubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara antarabangsa akan turut membantu usaha mempromosikan negeri ini di peringkat ekonomi global.

 

Antara contoh terkini adalah inisiatif pengecualian visa bagi warga China dan India. Sekiranya kerjasama baik dan momentum peningkatan FDI ini dapat diteruskan, termasuk pelaksanaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), sektor hartanah di Johor dijangka akan meningkat.

 

Sementara itu, berhubung Forest City, Faez memberitahu, pembangunan tersebut perlu dilihat sebagai satu projek jangka masa panjang.

 

Pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu bukan sahaja telah merencatkan pertumbuhannya tetapi pembangunan lain di Malaysia dan seluruh dunia. Namun dengan peredaran masa serta inisiatif-inisiatif berkesan, ia akan mampu kembali ke landasan asal. 

 

Forest City juga merupakan satu pembangunan hartanah swasta, oleh itu ia perlu menyediakan strategi perniagaan yang kompetitif bagi memastikan inisiatif SFZ berjaya memberi manfaat kepada semua pemegang taruh.

 

Sekiranya SFZ di Forest City dapat dijayakan, ia akan memberikan kesan positif kepada pasaran ekonomi negara khususnya.

 

"Sebagai rakyat Malaysia, saya mengalu-alukan pelaburan asing yang strategik, beretika dan berdaya maju yang akan beri manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

 

"Sebagai contoh, Zon Perindustrian Bebas di Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan zon perdagangan bebas di Malaysia yang dibangunkan pada tahun 1972. Limpahan ekonomi daripada inisiatif itu dapat dilihat di seluruh negeri Pulau Pinang. 

 

"Ia turut merancakkan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, hartanah, rekreasi dan sektor perkhidmatan tempatan.

 

"Situasi sama dijangka akan berlaku apabila terdapat zon ekonomi serupa yang dibangunkan di negara ini pada masa depan," jelasnya. - DagangNews.com