Setel tawar insentif pulangan tunai hingga 10% melalui kempen 'Semua Boleh Setel' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setel tawar insentif pulangan tunai hingga 10% melalui kempen 'Semua Boleh Setel'

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Setel, aplikasi pembayaran petrol utama di Malaysia, melancarkan kempen akhir tahunnya, ‘Semua Boleh Setel’ yang menawarkan insentif pulangan tunai sebanyak 10% untuk pembelian di jenama rakan strategik terpilih.

 

Selain itu, pengguna juga dapat menikmati pulangan tunai 3% untuk  transaksi terpilih seperti pembelian di kedai dan dalam talian, parkir kenderaan, pengecasan kenderaan elektrik (EV), pembaharuan cukai jalan, dan bantuan auto 24/7.

 

Kempen komprehensif itu merupakan salah satu langkah untuk menjadikan Setel sebagai platform pilihan untuk mendapatkan lebih manfaat daripada pembelian barangan harian serta keperluan kenderaan, bukan hanya petrol semata.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, Setel mencapai pencapaian yang ketara  dengan membolehkan transaksi tanpa tunai di lebih 1.6 juta kedai dan memenuhi  keperluan kenderaan yang pelbagai selain petrol. 

 

Beliau berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan kempen ‘Semua Boleh Setel’ dengan kerjasama rakan strategik yang dihargai. 

 

"Inisiatif ini bertujuan menghargai pengguna dengan promosi pulangan tunai yang menarik, selain menandakan satu lagi usaha dalam mencapai matlamat menyeluruh kami untuk memupuk mobiliti yang inklusif," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Bermula dari 13 November 2023 hingga 12 Januari 2024, pelanggan boleh menerima ganjaran serta-merta dengan pulangan tunai 10%, terhad pada RM5 sebulan, apabila membeli barangan jenama menggunakan aplikasi Setel menerusi rangkaian perniagaan yang terpilih, termasuk KK Super Mart, Mydin, Village Grocer, PLUS R&R, Ben's Independent Grocer. dan Pasaraya OTK.

 

Selain itu, rangkaian perniagaan terpilih yang lain, termasuk OldTown White Coffee, Tealive, Chatime, Pasta Panas, Café Mesra, Bake With Yen, BSC Fine Foods, Leisure Grocer dan redBus.

 

Pulangan tunai untuk pembelian di kedai, dalam talian, dan keperluan kenderaan turut ditawarkan, antaranya pulangan tunai hingga RM300 untuk takaful atau insurans kenderaan, pulangan tunai 50% untuk tempat parkir, pulangan tunai RM20 untuk bateri kereta dan pulangan tunai 3% untuk bayaran selain petrol.

 

Ia termasuk pulangan tunai hingga RM800 untuk pembelian atau penjualan kereta melalui myTukar, 3x mata ganjaran Mesra untuk petrol dan 3x mata ganjaran Mesra untuk Kedai Mesra dan Deliver2Me. - DagangNews.com