Seng Fong sasar RM68.1 juta daripada IPO di Papan Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Seng Fong sasar RM68.1 juta daripada IPO di Papan Utama Bursa Malaysia

Er Hock Lai bersama pengurusan kanan dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng semasa majlis pelancaran prospektuf Seng Fong secara maya di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2022.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 14 Jun – Seng Fong Holdings Berhad menyasarkan untuk meraih kira-kira RM68.1 juta daripada penawaran awam permulaan (IPO) di Papan Utama Bursa Malaysia, dengan kebanyakannya diperuntuk bagi membayar balik pinjaman bank dan modal kerja.

 

Syarikat itu melancarkan prospektus untuk IPO melibatkan penerbitan penerbitan 160.87 juta saham biasa atau 31.0% daripada jumlah saham terbitan Syarikat yang diperbesarkan yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan tawaran untuk jualan sebanyak 70.06 juta saham.

 

Seng Fong adalah syarikat pemproses getah yang mengeluarkan dan memperdagangkan Getah Standard Malaysia dan getah blok gred premium. Getah blok yang dihasilkan dijual terus kepada pelanggan pengguna akhir dan peniaga getah antarabangsa, yang majoritinya adalah pengeluar tayar.

 

Saham terbitan akan disediakan untuk permohonan mengikut cara berikut:

Tawaran runcit sebanyak 42.20 juta saham mewakili 8.1% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan akan disediakan dengan cara berikut:

  • 25.95 juta saham yang mewakili 5.0% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia (melalui undian), di mana 50% daripadanya akan diketepikan untuk pelabur bumiputera termasuk individu, syarikat, persatuan, koperasi dan institusi

  • 16.25 juta saham mewakili 3.1% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan dikhaskan untuk permohonan oleh orang yang layak

 

Tawaran institusi sebanyak 118.67 juta saham mewakili 22.9% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan akan disediakan dengan cara berikut:

  • 64.87 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

  • 53.80 juta saham melalui penempatan persendirian kepada institusi lain dan pelabur terpilih

 

Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai berkata, matlamat syarikat daripada penyenaraian adalah untuk mengoptimumkan pengeluaran dengan meningkatkan jumlah kapasiti tahunan melalui pengambilan pekerja tambahan untuk syif kerja kedua dan melaksanakan inisiatif ESG untuk menjadikan perniagaan menjadi lebih mampan.


 

Er Hock Lai
                                  Er Hock Lai

 


“Kami berhasrat untuk menggunakan sebahagian daripada hasil yang dinaikkan IPO untuk membiayai keperluan modal kerja kami bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 166,000 tan metrik menjelang 2023 daripada kapasiti semasa 142,000 tan metrik.

 

"Untuk meneruskan inisiatif ESG, kami juga menggunakan hasil yang diperoleh daripada IPO untuk membayar balik pinjaman bank yang telah kami gunakan untuk memasang dua sistem solar, yang akan membantu mengurangkan perbelanjaan elektrik secara keseluruhan," katanya pada majlis pelancaran prospektus secara maya di sini hari ini.

 

Hock Lai berkata, pihaknya juga memperuntukkan dana yang diperoleh daripada IPO untuk pemasangan dua sistem biojisim menggunakan serpihan kayu dan menggantikan diesel untuk mengurangkan kos bahan api keseluruhan untuk kilang.

 

"Kami menganggarkan bahawa penggunaan sistem solar akan menghasilkan penjimatan sebanyak RM2.6 juta manakala sistem biojisim akan membantu kami menjimatkan RM3.5 juta," ujarnya.

 

Di samping penjimatan kos kata beliau, penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api adalah selaras dengan penekanan syarikat untuk mempunyai operasi perniagaan yang mampan dan keperluan untuk memulihara alam sekitar.

 

“Berdasarkan asas kukuh dan reputasi perniagaan kami, kami berhasrat untuk mengesyorkan sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan bersih tahunan kami sebagai dividen kepada pemegang saham tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham,” kata Hock Lai.

 

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng berkata, “Hari ini menandakan satu peristiwa penting bagi Seng Fong Holdings kerana syarikat itu memulakan lembaran baharu daripada perjalanan yang bermula pada 1986 apabila Er Hock Lai dan adik-beradiknya mengasaskan perniagaan memproses getah untuk pasaran domestik.

 

“Kami percaya bahawa Seng Fong Holdings akan dapat memanfaatkan IPO ini untuk mencapai objektif segera mereka sambil meningkatkan kehadirannya di pasaran antarabangsa untuk pemprosesan getah,” kata beliau.

 

 

Lee Jim Leng
                                            Lee Jim Leng

 


Hampir semua hasil Seng Fong diperoleh daripada jualan kepada pelanggan antarabangsa untuk FYE2019 hingga FYE2021.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022, Seng Fong mencatatkan hasil RM662.43 juta dengan untung kasar RM61.74 juta dan untung selepas cukai RM31.32 juta. - DagangNews.com