KUALA LUMPUR 4 Feb - MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor teknologi berikutan kepentingan industri semikonduktor di peringkat global.
Menurut firma itu, kedatangan teknologi 5G, peningkatan penghantaran telefon pintar, keperluan penyelesaian digital dalam perniagaan dan pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang akan terus memacu prospek positif dalam kalangan pemain semikonduktor pada tahun ini.
Malah, katanya, syarikat yang menghasilkan semikonduktor juga tidak boleh dipandang remeh kerana teknologi akan memainkan peranan yang lebih penting berbanding sebelum ini.
"Kami berpendapat masa depan sektor teknologi Malaysia sangat berkait dengan permintaan global untuk semikonduktor.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan permintaan akan kekal kukuh dalam beberapa tahun akan datang memandangkan penggunaan cip komputer dalam kehidupan seharian kita semakin bertambah daripada peranti peribadi seperti telefon pintar, komputer riba hinggalah kepada kenderaan elektrik, dan peranti internet segala-galanya (IoT)," katanya dalam nota kajian.
Firma tersebut baru-baru ini menjangkakan eksport Malaysia akan berkembang 4.5% tahun ini berikutan prospek menggalakkan dalam permintaan luaran bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.
Sektor E&E menyumbang 39.3% atau RM386.29 bilion kepada jumlah eksport Malaysia pada 2020 dan merangkumi hampir 70% daripada dagangan semikonduktor global dan 13% kapasiti global dari segi ujian pemasangan dan pembungkusan.
"Berdasarkan statistik ini, kami percaya penjualan bagi saham teknologi baru-baru ini hanyalah reaksi berlebihan terhadap persekitaran kadar faedah yang tinggi.
"Ini secara amnya tidak menguntungkan untuk saham pertumbuhan seperti teknologi dan bukannya disebabkan jangkaan jualan semikonduktor global yang lebih rendah selepas 2 tahun mencatat permintaan kukuh yang dipercepatkan oleh wabak COVID-19," jelasnya.
Pilihan utama firma itu bagi saham teknologi ialah Inari Amerton Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM4.55 berikutan pendedahan kumpulan kepada kandungan frekuensi radio dalam penggunaan telefon pintar 5G.
Selain itu, ia juga memilih saham MYEG Services Bhd. dengan saranan 'beli' pada TP RM1.27 memandangkan kumpulan bergerak agresif dalam perniagaan penyelesaian digital seperti sistem latihan ujian pemanduan automasi (e-Testing), alat pernafasan COVID-19 dan jualan silang insurans perjalanan.
Dalam pada itu, MIDF Research berkata, melihat kepada pembetulan dalam saham teknologi tinggi di Nasdaq yang jatuh sehingga 19% daripada paras tertinggi pada November, ia hanyalah penarikan semula sementara yang sihat dengan mengambil kira asasnya yang masih kukuh.
Firma itu berpendapat, apabila penjualan semakin berkurangan, saham pertumbuhan seperti Apple, Microsoft, Tesla dan Nvidia akan kembali pulih dengan cepat.
Katanya, syarikat-syarikat bermodal besar ini kaya dengan kedudukan tunai dan mereka mampu menukar hutang pada kadar utama, tidak seperti syarikat yang lebih kecil yang perlu berkembang pantas dan bergelut untuk melaraskan penilaian.
"Secara keseluruhan, kami berpendapat bahawa teknologi yang meningkat dalam kitaran ini daripada saham pertumbuhan teknologi tinggi kepada saham berorientasikan nilai hanyalah kejatuhan sementara sebelum kembali normal dalam jangka sederhana dan panjang," katanya. - DagangNews.com








