Sektor penjagaan kesihatan swasta diramal raih perolehan lebih kukuh pada 2H24, RHB IB kekal penarafan Overweight | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan swasta diramal raih perolehan lebih kukuh pada 2H24, RHB IB kekal penarafan Overweight

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Jun - Sektor penjagaan kesihatan swasta dijangka mencatat perolehan lebih kukuh pada separuh kedua 2024 (2H24) didorong beberapa faktor termasuk strategi pengembangan operasi secara organik dan pengecualian visa kepada pelancong China dan India, kata RHB Investment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan itu, turut membantu ialah penularan penyakit tidak berjangkit (NCD), kesedaran kesihatan yang meningkat dalam kalangan pengguna dan keadaan masyarakat yang kian menua. 

 

Justeru, katanya, penarafan Overweight terhadap sektor penjagaan kesihatan dikekalkan dengan prospek KPJ Healthcare (KPJ) dijangka diperkukuhkan oleh sumbangan meningkat daripada sektor pelancongan kesihatan dan juga kecekapan operasi lebih baik dari hospital-hospital yang masih menunggu hasil. 

 

"Kami mendapat tahu bahawa KPJ menerima sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung yang tiba ke acara jerayawara pemasarannya di Jakarta, Mei lepas. 

 

"Selain kemasukan ramai pelancong penjagaan kesihatan (susulan kelonggaran perjalanan tanpa visa bagi warga negara China dan India), hal ini sepatutnya menaikkan lagi rentak pertumbuhan KPJ pada 2H24," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Sementara itu, RHB Investment turut mengunjurkan segmen farmaseutikal bakal mengalami pemulihan kukuh pada 2H24, dibantu oleh peningkatan prestasi dalam segmen penjagaan kesihatan pengguna dan produk belian kaunter.

 

Di samping itu, katanya, segmen farmaseutikal turut menerima manfaat daripada kegiatan hospital yang semakin rancak dan lonjakan ketibaan pelancong asing. 

 

"Kenaikan semakin cepat dalam kegiatan perdagangan dan pembuatan seperti yang diramalkan oleh Jabatan Ekonomi RHB seharusnya mengukuhkan pertumbuhan syarikat farmaseutikal yang terdedah kepada pasaran eksport (Kotra Industries: 32%; Duopharma Biotech (DBB): 8%).

 

"Selain itu, peruntukan kerajaan yang lebih tinggi bagi pemerolahan ubat (2024F: RM5.5 bilion berbanding 2023: RM4.9 bilion) dan jugaa rundingan harga ubat yang diputuskan baru-baru ini di bawah Senarai Pembelian Barangan Yang Diluluskan atau APPL seharusnya menyokong pertumbuhan DBB," ujarnya.

 

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan itu menyenaraikan IHH Healthcare Berhad sebagai syarikat pilihan Utama berdasarkan beberapa faktor seperti kunci kira-kiranya yang kukuh. - DagangNews.com