Sektor penjagaan kesihatan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan mampan pada 2024 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan mampan pada 2024 - HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Sektor penjagaan kesihatan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan mampan pada 2024, disokong oleh peningkatan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), tumpuan strategik pada pengembangan hospital swasta dan lonjakan pelancongan perubatan , menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor terbabit untuk 2024 kerana pemacu pertumbuhannya yang berdaya tahan.

 

KPJ Healthcare Bhd menjadi pilihan utama HLIB dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.57  sesaham memandangkan kehadirannya teguh di Malaysia, memanfaatkan permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dan perkembangan industri pelancongan perubatan.

 

Menurut firma itu, industri penjagaan kesihatan akan mendapat manfaat daripada peningkatan peruntukan belanjawan KKM sebanyak 13.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM41.2 bilion.

 

HLIB berkata peruntukan yang lebih besar ini memberi kesan positif kepada kaunter penjagaan kesihatan di bawah liputannya, termasuk DKSH Holdings (Malaysia) Bhd (beli; TP: RM5.50), UMediC Group Bhd (beli; TP:RM1.00), dan IHH Healthcare Bhd (beli; TP: RM7.62), kerana mereka terlibat dalam pengedaran, pembuatan, serta penyediaan produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada sektor awam.

 

Di samping itu, sektor ini juga disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam pelancongan perubatan, yang dijangka mendapat manfaat daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa dan terutamanya perjalanan tanpa visa untuk warga China.

 

“Malaysia berada di landasan untuk berpotensi mencapai RM2 bilion pendapatan pelancongan perubatan pada 2023, setahun lebih awal daripada garis masa sasaran iaitu pada 2024,” tambahnya.

 

HLIB berpendapat bahawa KPJ Healthcare dan IHH Healthcare dijangka mendapat manfaat sepenuhnya daripada trend ini, memandangkan lokasi dan keupayaan strategik mereka.

 

Di samping itu, firma tersebut optimis terhadap pengendali hospital yang mengalihkan tumpuan mereka ke arah mengutamakan projek penambahbaikan hospital sedia ada dan mengembangkan kapasiti hospital sedia ada mereka.

 

Firma itu berkata KPJ Healthcare menyasarkan untuk menambah 9.9% atau 368 katil pada 2024, menjadikan jumlahnya kepada 4,101 katil, manakala IHH Healthcare merancang untuk menambah 3,800 katil baharu menjelang 2028, mewakili peningkatan ketara sebanyak 33% dalam kapasiti di seluruh operasi utamanya.

 

Bagi UMediC pula, firma itu berkata pengembangannya pada masa akan datang disasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluarannya kepada 600,000 botol sebulan. - DagangNews.com