Sektor pembinaan kekal catat trend positif, terus jadi pemangkin ekonomi Malaysia - KKR | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan kekal catat trend positif, terus jadi pemangkin ekonomi Malaysia - KKR

Ahmad Maslan dan Abdul Rahman Mamat bersama peserta yang hadir pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Sektor Pembinaan anjuran MIDF di Menara MBSB Petaling Jaya hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Mei - Sektor pembinaan yang menunjukkan trend positif untuk suku tahun ketujuh berturut-turut dengan pertumbuhan sebanyak 6.8% secara tahun demi tahun akan terus menjadi pemangkin kepada ekonomi Malaysia.  

 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nilai kerja yang dicatatkan pula adalah sebanyak RM34.1 bilion pada suku keempat tahun 2023.

 

Kata beliau, langkah seterusnya dalam pembangunan sektor ini akan melibatkan integrasi kaedah dan teknologi pembinaan terkini ke dalam aktiviti sektor tersebut. 

 

Selain itu katanya, elemen alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) juga harus diberi perhatian yang serius untuk masa depan yang mampan. 

 

midf1
AHMAD MASLAN

 

"Menerusi sokongan Kerajaan yang berterusan, sektor ini diyakini bersedia untuk mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi.

 

"Secara keseluruhan, saya yakin sektor pembinaan akan terus menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi Malaysia. 

 

"Dengan tekad yang kukuh dan pelaburan yang strategik, kita akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam ucaptama sempena Majlis Makan Tengah Hari Bersama Sektor Pembinaan anjuran MIDF di Menara MBSB hari ini.

 

Turut hadir Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Group,  Mohamed Rafe Mohamed Haneef,  Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof dan kira-kira 100 peserta mewakili agensi kerajaan dan sektor korporat.

 

Majlis ini merupakan acara penting daripada perkhidmatan tambah nilai MIDF Research kepada klien dan pemegang saham. 

 

pembinaan
Sektor pembinaan akan terus menjadi teras ekonomi Malaysia pada masa depan. Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

Objektifnya ialah meningkatkan kefahaman mengenai dasar kerajaan dalam sektor pembinaan dan memperkukuhkan profil MIDF dan Kumpulan MBSB.

 

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucpan alu-alannya berkata, sektor pembinaan memegang kepentingan besar, bertindak sebagai tiang ekonomi dan memberikan pengaruh langsung terhadap kualiti hidup dan reka bentuk bandar. 

 

midf
ABDUL RAHMAN MAMAT

 

Menurut beliau, kerancakan sektor ini sering mencerminkan kesejahteraan ekonomi secara keseluruhan dan tahap pembangunan sebuah negara.

 

"Selain itu, perkembangannya melimpah ke pelbagai sektor lain termasuk hartanah, pembuatan dan kewangan, dengan itu memberi kesan mendalam kepada landskap ekonomi yang lebih luas.

 

"Pertumbuhan ekonomi yang konsisten Malaysia telah membentuk asas kukuh untuk pembangunan sektor pembinaannya," ujar Pengerusi MIDF itu.- DagangNews.com