KUALA LUMPUR 5 Mac - Pendapatan sektor media khususnya tradisional terus berdepan cabaran disebabkan oleh perbelanjaan iklan (adex) yang lemah, hasil langganan yang lebih rendah dan perbelanjaan yang tinggi.
Kenanga Research berkata, tambahan pula pada tahun ini menyaksikan pengenalan beberapa jenis cukai seperti cukai barangan mewah dan kenaikan cukai perkhidmatan yang menyebabkan perbelanjaan pengguna ke atas barangan budi bicara semakin terbatas.
Katanya, apatah lagi tahun 2024 tidak seperti pada tahun lalu yang mempunyai banyak acara besar seperti pilihan raya negeri dan Sukan Asia di peringkat antarabangsa yang dapat merancakkan pertumbuhan adex.
Sehubungan itu, Kenanga Research telah mengekalkan penarafan 'Underweight' pada sektor media dengan keputusan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QCY23) syarikat media kebanyakannya berada di bawah ramalan.
"Kami tidak mempunyai apa-apa pilihan saham untuk sektor tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Kenanga Research, mereka menunggu syarikat media tradisional melaksanakan strategi yang membolehkan mereka untuk bersaing dalam landskap industri baharu yang dikuasai oleh media digital.
"Ini boleh dilaksanakan melalui langkah-langkah seperti kepelbagaian kepada perniagaan baharu, pengoptimuman asas kos selanjutnya, penciptaan semula model perniagaan mereka," jelasnya.
Menurut Kenanga, adalah mencabar bagi media tradisional iaitu TV, radio dan akhbar untuk mendapatkan semula bahagian adex yang hilang kepada media kontemporari yang menyaksikan minat beralih kepada penstriman seperti Youtube, Spotify, Apple Music dan aplikasi mudah alih serta platform media sosial.
Katanya, sejak tiga tahun lalu, bahagian adex media digital telah meningkat secara progresif daripada 15.7% dalam 4QCY20 kepada 23.5% dalam 4QCY23.
"Kami mengekalkan andaian kami sedikit penguncupan 0.3% YoY dalam jumlah keseluruhan adex CY24.
"Walau bagaimanapun, sejajar dengan penguasaan dan trajektori pertumbuhan media digital, kami menjangkakan jumlah adex (kecuali digital) CY24 akan menguncup sebanyak 1.8% YoY, ujarnya.- DagangNews.com








