Sektor hartanah kurang meyakinkan, HLIB turunkan penarafan kepada 'neutral'  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor hartanah kurang meyakinkan, HLIB turunkan penarafan kepada 'neutral' 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah menurunkan taraf sektor hartanah kepada 'neutral' memandangkan ia telah menjadi kurang yakin pada sektor terbabit.

 

Ini kerana pengebilan dijangka menjadi normal, manakala jualan dan pelancaran akan menyaksikan pertumbuhan lebih sederhana.

 

Firma penyelidikan itu berkata keputusan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 adalah baik dengan tiga pendapatan melebihi jangkaan, empat sejajar dan hanya satu di bawah jangkaan.

 

“Pendapatan agregat suku ketiga sektor meningkat 16.2% suku ke suku (QoQ) dan 19.6% tahun ke tahun (YoY), manakala pendapatan sembilan bulan meningkat 5.1% YoY.

 

"Sehingga tahun ini, sektor ini telah menikmati peningkatan pendapatan didorong pecutan dalam pengebilan, apabila pemaju mengejar kemajuan pembinaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata kesan ini akan hilang pada 2024 disebabkan tahap pengebilan kembali normal.

 

HLIB berkata peningkatan dalam jualan sebahagiannya disebabkan oleh beberapa pembeli beralih daripada pasaran sekunder kerana lebih banyak produk baharu tersedia di pasaran utama.

 

“Kami tidak fikir permintaan hartanah telah banyak berubah tahun ini, memandangkan ekonomi domestik hanya menyaksikan pertumbuhan sederhana setakat tahun ini (unjuran HLIB: +3.8%).

 

“Pertumbuhan sederhana dijangka berterusan pada 2024, dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 4% hingga 5% berdasarkan anggaran Bank Negara Malaysia (unjuran HLIB: +4.8%).

 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa pemaju tidak mungkin meningkatkan pelancaran dengan ketara pada 2024, kerana pasaran tidak bersedia untuk menyerap lebih banyak pelancaran,” katanya.

 

Namun begitu, HLIB berkata terdapat beberapa kaunter terpilih di bawah liputannya yang berpotensi untuk mengatasi prestasi sektor dan pasaran.

 

“Pilihan utama kami ialah Sunway Bhd, OSK Property Holdings Bhd, IOI Properties Group Bhd, dan Sime Darby Property Bhd (SimeProp),” katanya. - DagangNews.com