KUALA LUMPUR 27 Feb - Malayan Flour Mills Bhd. (MFM) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM46.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 berbanding kerugian bersih yang direkodkan RM27.7 juta yang direkodkan bagi tempoh sama sebelumnya.
Prestasi lebih baik itu disokong kenaikan 18% pendapatan kumpulan pada suku berkenaan kepada RM819.6 juta daripada RM694.7 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh operasi yang terus bertambah baik bagi segmen ternakan bersepadu (PI) kumpulan, yang dikendalikan syarikat usaha sama (JV) dengan Tyson Foods.
Di samping itu, terdapat hapus kira pada pengukuran semula penghutang luar jangka berjumlah RM8.8 juta yang diiktiraf pada suku tersebut.
Segmen PI meningkat hampir tiga kali ganda keuntungan selepas cukai kepada RM94.6 juta pada suku keempat itu, berbanding RM32.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sejajar dengan itu, bahagian keuntungan daripada 51% pegangan ekuiti MFM dalam usaha sama itu berjumlah RM48.2 juta bagi suku dalam tinjauan.
Sementara itu, segmen FGT kumpulan di Malaysia dan Vietnam, bersama perniagaan lain, menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai marginal sebanyak RM2.9 juta pada suku keempat itu, berbanding RM48.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini memandangkan segmen itu terjejas oleh harga komoditi dan kos kewangan yang tinggi, beserta kerugian tukaran asing daripada dolar AS yang lebih kukuh pada suku tersebut.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), keuntungan bersihnya susut kepada RM145.05 juta daripada RM173.91 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM2.92 bilion daripada RM2.43 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Timbalan Pengerusi Eksekutif MFM, Teh Wee Chye berkata, meskipun prestasi kewangan bagi suku tersebut berada di bawah jangkaan terutama untuk segmen FGT, tetapi ia menunjukkan daya tahan model perniagaan kumpulan dalam menyediakan makanan ruji tepung dan ayam yang diproses.
"Di sebalik ketidaktentuan harga bahan mentah dan kenaikan kadar faedah, angka pada suku keempat ini menunjukkan kemampuan kumpulan untuk mengawal risiko perniagaan secara menyeluruh.
"Prospek kekal cerah, kerana segmen ternakan bersepadu meneruskan momentum volum yang optimum sejajar peningkatan permintaan untuk daging diproses oleh pelanggan kami dalam QSR dan sektor pembuatan makanan," katanya. - DagangNews.com








