Sedania catat untung bersih RM3.8 juta, melonjak tiga kali ganda dalam tempoh 9 bulan 2023 | DagangNews Skip to main content

Sedania catat untung bersih RM3.8 juta, melonjak tiga kali ganda dalam tempoh 9 bulan 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pemangkin alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Sedania Innovator Bhd terus mencatatkan keuntungan dan pertumbuhan yang stabil pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFYE23).

 

Keuntungan bersih kumpulan meningkat dua kali ganda pada suku ketiga kepada RM801,000 berbanding RM323,000 pada suku yang sama tahun 2022. 

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih melonjak kepada RM3.8 juta, peningkatan 3 kali ganda daripada RM1.12 juta berbanding tahun sebelumnya. 

 

Hasil bagi 3QFYE23 berjumlah RM10.62 juta, menyumbang kepada jumlah keseluruhan dalam tempoh 9 bulan sebanyak RM34.45 juta. 

 

Pertumbuhan itu meningkat sebanyak 14% bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, peningkatan berterusan bagi pihak kumpulan.


 
Segmen fintech mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 30% kepada RM2.13 juta dalam 3QFYE23, berbanding RM1.64 juta dalam tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya. 

 

Pertumbuhan dipacu oaktiviti mampan pada platform Tawarruq dan Go Halal, yang telah menunjukkan kemajuan berterusan oleh anak syarikat kumpulan dalam industri fintech.

 

 

sedania
Datuk Azrin Mohd Noor

 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, segmen fintech pihaknya menuju ke tahun yang lebih menarik seiring dengan pertumbuhan portfolio rumusan fintech patuh syariah untuk Institusi Perkhidmatan Kewangan (FSIs). 

 

"Lonjakan ini dipacu oleh perkhidmatan As-Sidq, iaitu platform masa nyata digital, yang penting untuk transaksi Tawarruq bagi memfasilitasi pembiayaan Islam melalui perdagangan komoditi. Di samping itu, ekosistem rangkaian fintech Islam kami, membuka peluang bagi institusi kewangan untuk memajukan transformasi digital mereka.

 

"Pendekatan inovatif kami juga bertujuan untuk menarik minat pelbagai FSIs dengan tawaran produk serta perkhidmatan terkini kepada pelanggan mereka. Ini bukan hanya tentang pertumbuhan semata-mata, tetapi anjakan ke arah masa depan yang transformatif dalam dunia teknologi kewangan," katanya.

 

Azrin berkata pada tahun ini, kumpulan berhasrat untuk terus berkembang dalam semua segmen perniagaannya. 

 

"Bagi suku ketiga tahun 2023, segmen Penjagaan Kesihatan Lestari, Offspring menyumbang RM8.08 juta kepada jumlah keseluruhan hasil kumpulan," katanya.

 

Katanya, Offspring dijangka terus melebarkan pasarannya ke negara-negara yang mempunyai kepadatan populasi, di samping meningkatkan jumlah saiz bakul purata, pangkalan pelanggan dan titik jualan. - DagangNews.com