KUALA LUMPUR 11 Julai - Scientex Bhd bakal membeli enam bidang tanah pegangan bebas seluas 222.8 hektar di Kulai, Johor dengan harga RM299.84 juta untuk membina 7,000 rumah mampu milik.
Scientex berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa anak syarikatnya Scientex Lestari Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Seriemas Development Sdn Bhd.
Katanya, Scientex Lestari bercadang untuk membangunkan tanah itu menjadi pembangunan hartanah bercampur, yang terdiri daripada kira-kira 7,000 rumah mampu milik.
“Pada masa ini, terlalu awal untuk memastikan jumlah nilai pembangunan kasar yang tepat, kos pembangunan, jangkaan tarikh permulaan dan penyiapan pembangunan serta jangkaan keuntungan yang akan diperoleh daripada pembangunan tanah itu,” tambahnya.
Scientex berkata pengambilalihan itu akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Mengenai rasionalnya, Scientex berkata pembelian tanah itu membolehkannya mengembangkan simpanan tanah, sejajar dengan matlamat kumpulan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi objektif kumpulan itu untuk menyiapkan 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.
"Tanah itu dijangka menyediakan model pembangunan hartanah yang mantap dan mampan kerana Scientex terus memberi tumpuan kepada hartanah bertanah dengan harga mampu milik, di mana permintaan kekal teguh dan berdaya tahan.
"Tanah itu akan memberi Scientex peluang untuk mencipta nilai ekonomi lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatan dalam jangka sederhana hingga panjang kerana tanah itu mempunyai potensi pembangunan yang menjanjikan," katanya.
Pengumuman ini dilakukan kurang daripada seminggu selepas kumpulan itu memeterai perjanjian dengan anak syarikat S P Setia Bhd untuk membeli tanah di Johor Bahru bernilai RM547.7 juta bagi projek pembinaan 12,000 rumah mampu milik.
Pada waktu penulisan, saham Scientex naik 3 sen atau 0.9% kepada RM3.45 dengan modal pasaran berjumlah RM5.35 bilion. - DagangNews.com








