``Saya lahir dari keluarga miskin. Agenda basmi kemiskinan adalah keutamaan saya,'' kata Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

``Saya lahir dari keluarga miskin. Agenda basmi kemiskinan adalah keutamaan saya,'' kata Ismail Sabri

''Saya sendiri lahir dari keluarga miskin. Anak Penoreh getah...,'' kata Perdana Menteri.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - ''Selagi hayat dikandung badan, nasib Melayu dan Bumiputera akan saya perjuangkan,'' lafaz Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan nada sebak yang disambut dengan sorakan daripada delegasi-delegasi UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021 hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, beliau banyak mendengar perbahasan perwakilan yang menyentuh mengenai soal kemiskinan.

 

''Saya sendiri lahir dari keluarga miskin. Anak Penoreh getah.

 

''Saya merasai dan memahami apa erti kesusahan sebab itulah agenda basmi kemiskinan menjadi keutamaan saya,'' katanya dalam ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan ramai golongan M40 tergelincir kepada B40.

 

''Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025 dan Unit Kemiskinan khusus telah ditubuhkan di EPU, di negeri dan daerah,'' ujarnya.

 

''Saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu (BMTKM) di peringkat Pusat bagi memantau perkembangan pelaksanaan program rintis yang dilaksanakan di 80 lokaliti di seluruh negara.

 

''BMTKM akan melibatkan kerjasama strategik dengan semua pihak, Kerajaan Negeri, kementerian-kementerian, pemimpin setempat, universiti tempatan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Insya-ALLAH, sasaran ini akan dapat dicapai akhir tahun 2025,'' jelas beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara
 

Akta DBP dipinda beri kuasa DBP ambil tindakan tidak guna bahasa betul - PM

 

Ekonomi negara berkembang 3.6% Q4FY21 sejak UMNO terajui kerajaan

 

Bubar Parlimen: Perdana Menteri akan bincang dengan Top 5 UMNO


 

Perdana Menteri berkata, agenda pemerkasaan Bumiputera adalah agenda UMNO dan saya akan pastikan agenda parti keramat ini akan dijayakan.

 

Dalam Bajet 2022, peruntukan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah sebanyak 75% daripada agihan peruntukan mengikut kaum.

 

Antara inisiatif utama ialah:
Pertama, Program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan sebanyak RM4.8 bilion.
Kedua, Kemudahan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera melalui MARA, UiTM sebanyak RM6.6 bilion.

 

Dalam RMK-12 misalnya, 6 sasaran dan 7 strategi khusus telah ditetapkan. Ini bagi Mencapai Kesaksamaan Keberhasilan Bumiputera.

 

''Melalui TERAJU, saya juga telah  melancarkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera,'' kata beliau. - DagangNews.com