Sarawak catat RM21.4 bilion pelaburan tahun lepas dipacu sektor pembuatan – Awang Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak catat RM21.4 bilion pelaburan tahun lepas dipacu sektor pembuatan – Awang Tengah

Awang Tengah berkata, sektor pembuatan menyumbang kira-kira 62% daripada jumlah pelaburan yang dicapai Sarawak pada 2023. [Foto UKAS]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan jumlah pelaburan RM21.4 bilion pada 2023 yang sebahagian besarnya disumbang oleh sektor pembuatan.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sektor pembuatan menyumbang kira-kira 62% daripada jumlah pelaburan tersebut.

 

Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan kejayaan inisiatif di bawah pentadbiran Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg seperti Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 dan pengenalan elemen ekonomi hijau seperti perdagangan hidrogen dan karbon.

 

“Tahun 2023 menyaksikan Sarawak mencecah pelaburan berjumlah RM21.4 bilion. Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama, diikuti sektor utama dan sektor perkhidmatan.

 

“Prestasi ini menunjukkan bahawa Sarawak masih lagi destinasi pilihan untuk pelaburan,” katanya semasa majlis makan malam penghargaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pelaburan (MINTRED) Sarawak 2024 pada 4 Mac 2024, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

 

Awang Tengah, yang juga berkhidmat sebagai Menteri MINTRED, menambah bahawa kementerian itu telah melaksanakan pelbagai program untuk menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi negeri ini, yang harus selari dengan pencapaian objektif PCDS 2030.

 

Beliau menggesa kerjasama strategik berterusan dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Sarawak.

 

"Sebagai penjawat awam, kita mesti mengikuti perkembangan global terkini, seperti teknologi baharu, pendigitalan dan penyelesaian inovatif lain.

 

“Saya menggalakkan semua orang untuk terus mencari ilmu dan kemahiran baharu, terutama dalam bidang yang berkaitan dengan kementerian kita,” tambahnya. - DagangNews.com