SAP Malaysia unjur AI bantu percepat pembangunan bakat baharu, pemangkin utama PKS pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAP Malaysia unjur AI bantu percepat pembangunan bakat baharu, pemangkin utama PKS pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - SAP Malaysia mengunjurkan kecerdasan buatan (AI) membantu mempercepatkan lagi pembangunan kemahiran dan bakat baharu selain menjadi pemangkin utama kepada perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 2024.

 

Katanya, adalah penting untuk menggandingkan pelaksanaan dengan program pembangunan tenaga kerja dan jaringan keselamatan bagi memastikan pendekatan seimbang yang memberi manfaat kepada perniagaan serta pekerja.

 

Kajian Forum Ekonomi Dunia mendapati bahawa majoriti yang terjejas akibat pendigitalan dan automasi adalah pekerja separuh mahir atau berkemahiran rendah seperti juruteknik, pekerja perkhidmatan dan pekerja domestik.

 

"Peralihan ke arah Industri 4.0 akan mengakibatkan peningkatan keperluan untuk saintis data, profesional awan dan pakar keselamatan siber.

 

"Kemunculan AI akan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk memulakan kerjaya mereka dalam ekonomi digital," katanya.

 

SAP Malaysia berkata, pada tahun hadapan, pertumbuhan dua angka akan menjadi realiti bagi lebih banyak PKS yang fokus kepada pertumbuhan terutama selepas mereka lebih tertumpu kepada AI untuk berinovasi serta menyelaraskan operasi dengan lebih cekap.

 

Pihaknya melancarkan GROW di Malaysia awal tahun ini dengan menggabungkan modul komprehensif bersepadu meliputi fungsi kritikal seperti kewangan, jualan, pemasaran, perolehan dan sumber manusia ke dalam satu platform.

 

"Modul ini, berdasarkan amalan terbaik industri, memberikan syarikat fokus akses kepada alat berkuasa bagi menyelaraskan operasi dan mendapatkan pandangan holistik perniagaan mereka," katanya.

 

Sementara itu, penggunaan AI khusus muncul dalam keadaan berbeza mengikut keperluan industri.

 

Syarikat itu berkata, pemimpin perniagaan akan melihat melangkaui keperluan industri bagi mencari penyelesaian berasaskan penggunaan  AI dalam kehidupan sebenar selain melihat secara langsung kepentingan AI dalam menyediakan data berkualiti.

 

"Pemimpin perniagaan perlu memastikan AI relevan dan bertanggungjawab bagi mencapai hasil perniagaan yang boleh diukur.

 

"Dengan sejumlah besar data dan transaksi yang dijalankan melalui sistem dan rangkaian perniagaan SAP, syarikat secara unik diposisikan untuk membantu organisasi mengakses data yang mereka perlukan, menggambarkannya dan mengambil tindakan tegas untuk memacu kejayaan mereka," katanya.- DagangNews.com