SAMENTA: Prospek Sektor Runcit 2023 Membimbangkan | DagangNews Skip to main content

SAMENTA: Prospek Sektor Runcit 2023 Membimbangkan

Kestabilan politik, kepastian ekonomi, kunci kepada pemulihan sektor peruncitan

KUALA LUMPUR 28 Okt - Ketidaktentuan global, termasuk Perang Rusia-Ukraine, ketegangan di Selat Taiwan dan ketidakpastian politik dalam negara adalah antara sebab para usahawan dalam sektor peruncitan kurang optimistik dengan prospek sektor tersebut tahun depan.

 

Ini berikutan dua tinjauan terbaru Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia atau SAMENTA; Kajian Separuh Penggal PKS pada bulan Julai dengan kerjasama Affin Bank dan Tinjauan dan Ramalan Runcit 2023 pada bulan September lepas.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, sektor peruncitan menyaksikan pemulihan pesat sejak pembukaan semula ekonomi.

 

Pada bulan Ogos, sebagai contohnya, nilai jualan meningkat tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus kepada RM 57 bilion. Hampir semua yang ditinjau optimistik dengan prospek jualan tahun ini.

 

“Namun demikian, apabila ditanya mengenai prospek untuk tahun 2023, kebanyakan responden kurang optimistik.

 

“Dua daripada setiap tiga peruncit menjangkakan penurunan dalam kedua-dua nilai jualan dan volum. Ini didorong oleh ketidaktentuan politik dan ekonomi, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan normalisasi 'belanja balas dendam' pasca pandemik", tambah Ng.


 

Datuk William Ng
                             Datuk William Ng

 


“Para peruncit, terutamanya PKS, berdepan dengan empat cabaran utama: penurunan jualan, pemulihan yang lebih perlahan berbanding syarikat yang lebih besar, kenaikan kos secara mendadak dan kekurangan pekerja.

 

“Ini bukan sahaja melambatkan pemulihan dalam sektor peruncitan, tetapi turut mengekang matlamat negara untuk membina sektor peruncitan yang dinamik sebagai salah satu tunjang utama ekonomi negara,” kata Ng lagi.

 

Menurut Ng, SAMENTA giat bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu peruncit PKS yang terjejas untuk mendigitalkan operasi mereka, meningkatkan produktiviti dan menangani isu kekangan tenaga kerja dan kenaikan kos secara mendadak.

 

Ini termasuk inisiatif seperti Program Transformasi Digital dan Produktiviti PKS yang dilancarkan dengan kerjasama MPC untuk mengubah 1,000 peruncit PKS menjadi perniagaan sedia-digital.

 

“Biasanya, kami mahu perniagaan dibiarkan bersaing secara adil tanpa campur tangan pihak kerajaan.

 

“Tetapi ini adalah masa yang luar biasa, dan kita perlukan intervensi kerajaan secara segera untuk membina semula keyakinan pengguna (dan peniaga), membendung kenaikan kos dan melegakan kekangan tenaga kerja”, kata Ng.

 

Ng berkata demikian pada Forum Peruncitan SAMENTA yang diadakan di Menara KLK di Petaling Jaya pada Khamis. Turut hadir ialah Timothy Liew, pengerusi jawatankuasa khas peruncitan makanan dan minuman SAMENTA serta lebih dari 50 peruncit dan pengendali F&B PKS.

 

Ditubuhkan pada 1986, SAMENTA adalah persatuan perusahaan kecil dan sederhana yang tertua dan terbesar di Malaysia. – DagangNews.com