SAMENTA minta kerajaan siasat syarikat p-hailing kenakan bayaran komisen tinggi kepada PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAMENTA minta kerajaan siasat syarikat p-hailing kenakan bayaran komisen tinggi kepada PKS

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos -  Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap kerajaan menyiasat industri p-hailing di negara ini yang mengenakan bayaran komisen sehingga setinggi 32% kepada perusahaan, kecil dan sederhana (PKS) berbanding kadar yang lebih rendah di negara lain.

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dijadualkan bertemu pemain industri p-hailing esok.

 

"Pertemuan itu juga bagi mengetahui kenapa pemain p-hailing mengurangkan bayaran kepada rakan penghantar mereka.

 

"Sebenarnya bukan sahaja rakan penghantar yang mempunyai isu dengan syarikat-syarikat tersebut, tetapi banyak PKS turut terjejas dengan bayaran komisen yang melampau yang dikenakan oleh syarikat p-hailing.

 

"Sebagai contoh, gerai makanan yang ingin menyertai platform p-hailing perlu membayar komisen setinggi 32% kepada syarikat-syarikat tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ng berkata, jika pemilik gerai ingin mengambil bahagian dalam 'promosi' yang ditawarkan oleh pemilik platform, mereka perlu membayar komisen tambahan sehingga 30%, jika tidak, gerai mereka akan kurang kelihatan di platform tersebut berbanding mereka yang membayar komisen tambahan untuk ‘promosi’.

 

"Akibatnya, kebanyakan PKS tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga produk mereka di platform tersebut untuk menampung komisen tinggi, yang menyebabkan pengguna membayar antara 10 hingga 100% lebih apabila membeli melalui platform p-hailing berbanding membeli terus dari kedai," katanya.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

Beliau berkata, atas alasan untuk menyokong inovasi dan menggalakkan pendigitalan dan e-dagang, pengendali p-hailing telah terlepas daripada kawal selia kerajaan, dan boleh dikatakan menganiaya dan memperhambakan industri yang kononnya disokongi oleh mereka.

 

"Apa yang mengejutkan bagi kebanyakan PKS adalah pengendali yang sama mengenakan bayaran komisen serendah 8% kepada pemilik restoran berantai yang lebih besar – menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini boleh mendapat keuntungan pada tahap komisen tersebut," katanya.

 

 

samenta

 

 

samenta

 

 

Katanya, di negara China, pengendali p-hailing, Meituan mengenakan komisen maksimum 12% dan masih mencatatkan keuntungan.

 

"Dalam lawatan saya ke Vietnam baru-baru ini, saya mendapati Grab memberi subsidi yang besar kepada perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran makanan mereka.

 

 

samenta

 

 

"Sebagai contoh, perjalanan sejauh dua kilometer menaiki kereta di daerah satu bandaraya Ho Chi Minh memakan belanja sebanyak 21,000 dong (kira-kira RM4) manakala perjalanan serupa dari Wisma Genting ke Menara Maybank di Kuala Lumpur menelan kos RM16 kerana adanya  'surge pricing' (lonjakan harga)," katanya.

 

Katanya, adalah penting untuk menggalakkan pilihan dan persaingan dalam industri p-hailing.

 

"Jika ini tidak dapat dilakukan kerana sifat monopoli atau oligopoli industri tersebut, mungkin kita perlu memecahkan monopoli industri tersebut dengan mengehadkan keupayaan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor industri atau mengehadkan komisen mereka melalui perundangan,” katanya. - DagangNews.com