SAMENTA mahu kerajaan beri potongan cukai berganda sehingga RM1 juta kepada PKS dalam Bajet 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAMENTA mahu kerajaan beri potongan cukai berganda sehingga RM1 juta kepada PKS dalam Bajet 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan mengambil langkah menangani isu-isu mendesak, terutama cabaran jangka panjang  melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Bajet 2023.

 

Pengerusi Samenta, Datuk William Ng berkata, cabaran jangka panjang seperti produktiviti rendah, anjakan digital, persaingan serantau dan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mesti ditangani secepat mungkin.

 

“Kami berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan PKS kekal berdaya saing. 

 

"Ini memerlukan reformasi dan penjajaran semula ekonomi negara, namun buat masa terdekat, kita mulakan dengan intervensi fiskal melalui Bajet 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, tumpuan perlu diberikan kepada potongan cukai berganda serta 'handholding' dan meningkatkan pengetahuan antara PKS bagi menggalakkan disiplin kewangan yang lebih baik dalam kalangan PKS.

 

“Di antara permintaan kami adalah potongan cukai berganda sehingga RM1 juta bagi tahun tafsiran 2023 untuk perbelanjaan mengautomasikan perniagaan, menerima pakai pendigitalan dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 dan mematuhi piawaian ESG.

 

 

Datuk William Ng
Datuk William Ng

 

 

Di samping itu, skop kemudahan peralihan rendah karbon perlu diperluaskan merangkumi bayaran perundingan dan latihan serta sebarang penambahbaikan kemudahan dan proses yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti," tambah beliau.

 

SAMENTA berharap pendapatan bercukai RM500,000 yang pertama dikenakan tarif rendah pada 15% bagi menggalakkan PKS melabur semula keuntungan tersebut untuk mengembangkan perniagaan pasca pandemik.

 

“Dengan pemeteraian Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongisan Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), akan ada lebih banyak peluang tetapi persaingan juga akan bertambah. 

 

"Oleh itu, kita perlukan bantuan yang lebih mendalam dan bukan sekadar ‘galakan’ untuk PKS," tambahnya.

 

Selain itu, SAMENTA juga berharap dapat menangani masalah kekangan tenaga kerja dengan pemotongan cukai berganda untuk perkhidmatan rundingan, latihan, pensijilan dan perisian untuk membantu PKS mengguna pakai 'sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti

 

Seterusnya, persatuan itu menggesa kerajaan agar mengekang pengaruh ejen pekerja asing yang mengenakan bayaran berlebihan dengan melalui undang-undang sedia ada seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

 

Persatuan itu juga berharap mendapat kebenaran untuk mengguna levi HRDC bagi pengambilan pelatih dan perantis dengan had elaun sebanyak RM1,000 sebulan, maksium 6 bulan dan tanpa had kepada bilangan pelatih dan perantis.

 

Pelajar asing di Malaysia juga perlu diberi kebenaran untuk bekerja maksimum 20 jam seminggu dalam sektor perkhidmatan profesional dan sektor peruncitan.

 

Bagi mengurangkan tekanan kos, SAMENTA berharap tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua pengguna komersial dan industri untuk 1000 KWj yang pertama serta tiada kenaikan harga pada semua bil air, pembentungan dan telekomunikasi sepanjang tahun 2023.

 

Mereka juga menuntut rebat bil internet sebanyak 50% untuk 2023 kepada semua usahawan desa bagi menggalakkan syarikat telekomunikasi memperluaskan perkhidmatan ke kawasan liputan rendah dan menggalakkan usahawan menyertai digital ekonomi.

 

Persatuan itu juga mencadangkan penyimpanan satu Daftar Geran SME di bawah SME Corp untuk mengehadkan geran langsung atau padanan daripada semua agensi kerajaan kepada had seumur hidup RM500,000 bagi setiap perniagaan dan pengarah untuk mengelakkan 'usahawan geran' mengambil peluang, agar bantuan kewangan Ini dapat memanfaatkan lebih banyak PKS.

 

Selain itu, mereka juga meminta agar kerajaan mengurangkan persaingan langsung daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor bukan strategik dan menggalakkan sokongan kepada PKS dalam kalangan GLC. 

 

Ini, katanya, perlu dilakukan dengan mewajibkan laporan tahunan 'GLC for SMEs' dengan perincian jumlah perbelanjaan yang dibuat kepada vendor PKS, bilangan vendor, purata perbelanjaan bagi setiap vendor serta program dan aktiviti untuk menyokong pembinaan kapasiti dan keupayaan vendor PKS. -DagangNews.com